suria

Masyakarat Cina Diminta Sokong BN Pada PRU13

BIDOR: Masyarakat Cina diminta memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) kerana terbukti hanya kerajaan BN akan terus berusaha memajukan kehidupan rakyat dan membangunkan ekonomi negara.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam tempoh yang singkat berjaya merealisasikan beberapa transformasi yang diilhamkan sebaik sahaja menjadi peneraju kepemimpinan kerajaan BN.

Beliau berkata kejayaan itu banyak memberi faedah kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat Satu Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat Satu Malaysia (KR1M) dan Bantuan Buku Satu Malaysia (BB1M).

"Sehubungan itu saya menyeru agar semua kaum di negara ini termasuk Cina menyokong dan mendukung kepemimpinan Perdana Menteri yang akan terus membela nasib rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya di majlis sambutan Tahun Baharu Cina Bersama Anggota Sukarela Askar Wataniah Negeri Perak di Taman Bukit dekat sini, Jumaat.

Kira-kira 2,000 terutama penduduk tempatan di Bidor menyertai majlis sambutan itu.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata semakin ramai kaum Cina menyertai pasukan sukarela Askar Wataniah (AW) kerana menyedari tanggungjawab menjaga keamanan negara bukan terletak kepada anggota tentera dan kaum lain sahaja.

Pasukan itu ini mempunyai 58,384 orang anggota terdiri daripada 4,462 Pegawai dan 53,922 Lain-Lain Pangkat.

Jumlah ini tidak termasuk Pasukan Sukarela dari Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia dan pada tahun ini AW menyasarkan pengambilan anggota baharu seramai 3,000 orang menerusi pasukan AW yang terdapat di seluruh negara. "Pada tahun ini, Angkatan Tentera Malaysia memperuntukkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM56.3 juta untuk bayaran elaun kehadiran latihan, elaun perjalanan, elaun pakaian dan bounti atau bonus tahunan kepada anggota AW," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain