suria

KLIA2 Akan Siap Pada Mei Walaupun Pembukaan Ditangguhkan

KUALA LUMPUR: Lapangan terbang tambang rendah yang baharu, KLIA2, dijangka siap menjelang 1 Mei ini, walaupun tarikh pembukaannya telah ditangguhkan kepada 28 Jun.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dijangka mematuhi tarikh akhir awalnya itu kerana tarikh penundaan berkenaan hanyalah untuk memperingati perasmian Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 15 tahun lepas.

Pengurus Besar Kanan MAHB (Perkhidmatan Komersil), Faizah Khairuddin berkata tempoh tambahan itu akan digunakan dengan sewajarnya oleh pengendali lapangan terbang itu untuk menjalankan ujian, latihan operasi dan beberapa aktiviti pelaksanaan.

"Pembangunan KLIA2 berjalan lancar. MAHB telah bersedia untuk memuktamadkan pembinaan dan kerja-kerja dalaman menjelang 1 Mei," katanya.

Daripada perspektif komersil, Faizah berkata KLIA2 akan memulakan operasi, dengan lebih daripada 80 peratus ruang lantai komersilnya telahpun diambil oleh jenama-jenama domestik dan antarabangsa terkenal.

Beliau berkata yang MAHB telah menetapkan pengukuhan jenama yang amat jelas untuk lapangan terbang baharu itu dan membukanya kepada lebih 80 peratus pengisian komersil, akan meletakkan lapangan terbang itu setaraf dengan rakan-rakan antarabangsanya yang lain.

"Kami akan membukanya dengan lebih 80 peratus penghunian komersil. Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana MAHB tidak membuka keseluruhan ruang komersil untuk tender.

"Kami hanya membuka 84 peratus dan hampir semua ruang lantai telah ditenderkan. Ini menandakan penerimaan dan sambutan yang baik untuk KLIA2," kata Faizah.

KLIA2 telah dibina dengan kos pembangunan RM4 bilion untuk membolehkan hubungan tanpa sempadan bagi kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah tempatan dan antarabangsa serta syarikat penerbangan perkhidmatan sepenuhnya.

Lapangan terbang baharu itu berukuran 257,000 meter persegi dengan 60 pintu, lapan stesen kawalan, 80 jambatan aero serta ruang runcit berkeluasan 32,000 meter persegi untuk menempatkan 225 tempat jualan.

Ia direka untuk menampung 45 juta penumpang setahun. BERNAMA

Artikel Lain