suria

Kerajaan Akan Terus Perkasa Bahasa Melayu - PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan terus memperkasa Bahasa Melayu sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi negara serta alat penting bagi perpaduan nasional, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa sama, Najib juga mengingatkan rakyat negara ini agar menguasai pelbagai bahasa untuk menjadi bangsa yang kompetitif dalam era globalisasi dan persaingan antarabangsa yang semakin sengit. "Komitmen kerajaan ini dibuktikan dengan pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBBMBI) yang diperkenalkan pada tahun lalu. "Ia jelas menzahirkan kerajaan berpegang teguh kepada dasar memartabat Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara. Kerajaan juga bertekad untuk terus memperkembang dan memperkasakannya ke peringkat global," katanya pada majlis Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam usaha memartabat Bahasa Melayu, Najib juga mahukan potensi bahasa itu terus dipupuk dan diperteguhkan lagi dalam segenap bidang.

"Sebagai langkah permulaan, sebanyak RM5 juta telah disalurkan melalui Institut Terjemahan & Buku Malaysia, atau ITBM, bagi memastikan penerbitan bahan ilmu berkualiti tinggi dapat diterbitkan dalam masa yang singkat.

"Bermula April 2011, dengan berbekalkan semangat inovasi keilmuan yang dilaksanakan, sebanyak 97 judul hasil karya penulis muda tempatan telah berjaya diterbitkan," katanya.

Beliau berkata kehebatan Bahasa Melayu juga jelas terserlah dengan lebih kurang 300 juta orang penutur sekali gus menjadi bahasa kelima terbesar dunia.

"Fakta ini memberi gambaran bahawa Bahasa Melayu mempunyai pengaruh dan peranan yang cukup besar dalam mewarnai landskap pembangunan tamadun dunia," katanya. Najib juga memuji usaha berterusan Kementerian Pengajian Tinggi yang berjaya menganjurkan pertandingan bertaraf dunia buat kali ke-7 dengan bilangan peserta terus meningkat.

"Saya dapat melihat bahawa penyertaan pertandingan ini saban tahun bertambah di mana para peserta datang dari seluruh pelosok dunia, merangkumi kesemua enam benua yang berpenghuni," katanya.

Beliau berkata sejarah membuktikan kedudukan serta peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa bermula sejak era pemerintahan Srivijaya pada abad ke-7 masihi dan berkesinambungan ke zaman Kesultanan Melayu di Melaka, dalam tempoh beberapa ratus tahun.

"Marilah sama-sama memikir dan memulakan langkah untuk memperhebat Bahasa Melayu ke persada dunia.

"Gunakanlah segala ruang dan peluang yang ada untuk mempelbagai kaedah mengetengahkan bahasa yang diwarisi daripada nenek moyang kita ini kepada masyarakat dunia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain