suria

Kenyataan Nik Aziz Satu Penghinaan - Zahid

BAGAN DATOH: Kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu penghinaan kepada golongan yang memerlukan bantuan berkenaan, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata walaupun kenyataan itu berbentuk perumpamaan tetapi ia seolah-olah menyamakan penerima BR1M dengan haiwan. Nik Aziz dalam komennya menyifatkan pelbagai bantuan diberi kepada rakyat sebagai seolah-olah memberi hampas kelapa, padi dan jerami kepada ayam dan lembu. "Cara yang terbaik ialah mengajar dan menasihati penerima supaya bersyukur kepada Allah yang telah memberi rezeki melalui manusia yang berkuasa yang terbuka hati untuk menyalurkan bantuan," kata Ahmad Zahid.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Memperkasa Transformasi Ekonomi Bumiputera dan Patriotisme Negara anjuran Gabungan Badan Ekonomi Melayu (GABEM) di Wisma Umno Bagan Datoh, pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata kenyataan Nik Aziz itu tidak wajar kerana bantuan yang diberikan kerajaan Barisan Nasional (BN) itu untuk rakyat meningkatkan taraf hidup mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Rumah Hijau Tertutup Ara Kuda di Tasik Gelugor hari ini, beliau berkata BN sentiasa berfikir di luar kotak dengan mencari pelbagai pembaharuan dan kaedah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Anggota Parlimen Tasek Gelugor itu berkata BR1M adalah inisiatif kerajaan membantu golongan kurang berkemampuan dan kerajaan mampu meneruskan bantuan itu.

Di SEREMBAN, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kenyataan Nik Abdul Aziz itu menunjukkan seolah-olah penerima BR1M ini tidak ada maruah langsung. "Pemberian BR1M adalah satu program kesejahteraan rakyat, maknanya duit yang disimpan (yang dikutip) oleh kerajaan melalui pelaburan kita dapat, kita kembalikan kepada rakyat.

"Jadi, janganlah menghina rakyat macam itu. Saya harap rakyat akan menilai kenyataan tersebut," katanya selepas majlis penyampaian BR1M 2.0 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi.

Anggota Parlimen Rembau itu mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana sambutan BR1M cukup baik sekali.

Katanya, penerima BR1M ini bukan hanya datang untuk menerima duit itu, tetapi turut mendengar penerangan macam mana Perdana Menteri telah mengilhamkan BR1M ini. "Kita bagi (BR1M) kepada semua rakyat kerana kerajaan kita ini adil. Kita tak tanya pun sokong siapa. Sebagai wakil rakyat saya minta kalau setuju terus sokong kita (Barisan Nasional).

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz menyelar Nik Abdul kerana mempolitikkan BR1M.

Maglin berkata bantuan itu memanfaat kira-kira empat juta isi rumah.

Beliau berkata kenyataan itu tidak konsisten ole kerana kerajaan pimpinan PAS, telah juga membuat pelbagai janji yang bersifatkan kebajikan dan kewangan untuk rakyat. "Nik Aziz dan kerajaan PAS kata mereka adalah negara berkebajikan. Mereka jua melancarkan treler 'Negara Berkebajikan' tetapi sekarang mereka menentang moto mereka sendiri.

"Sebenarnya, mereka tak kisahkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Ini semata-mata gimik politik untuk memenangi undi. Apa yang mereka mahu ialah mengambil alih negara ini," kata beliau.

Maglin bercakap kepada Bernama selepas menghadiri upacara penutupan "1Malaysia KL Heritage Xplorace 2013".

"BRIM memanfaat setiap warga, dan ia tidak memilih penyokong BN atau Pembangkang. Malah rakyat di Kelantan menerima BRIM, dan berterima kasih kepada kerajaan," kata beliau.

Dalam pada itu, Maglin mengulas laporan mengenai sekumpulan anggota Parti Progresif Penduduk (PPP) mengadakan demonstrasi depan ibu pejabat harian Tamil, Malaysian Nanban kelmarin kerana membantah sebuah artikel 'menghina', Maglin berkata: "setiap orang yang cuba memperjuangkan isu ini perlu faham bahawa ia melibatkan PPP dan Nanban. "Saya meminta rakan-rakan ahli, tolong elakkan diri dari membuat sebarang kenyataan yang boleh memecahbelahkan parti. Ini yang pembangkang mahu, yang akan memberikan mereka kelebihan," kata beliau.

Artikel berkenaan dikatakan menuduh PPP, sebuah parti komponen BN, mengedar bungkusan makanan percuma kepada golongan miskin, dan mempersoal sama ada langkah sedemikian akan membantu BN menarik undi masyarakat India.

Di MUAR, Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Datuk Razali Ibrahim berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu membuktikan beliau tidak ubah seperti ahli politik biasa dan bukan seorang ulamak sebenar.

Razali berkata, seorang ulamak tidak akan tergamak mengeluarkan kenyataan yang menghina penerima BR1M yang terdiri bukan sahaja penyokong kerajaan tetapi juga ahli PAS.

"Beliau buat kenyataan itu untuk menutup ketidakmampuan melaksanakan janji yang kononnya memperjuangkan negara kebajikan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan BR1M Muda.

Dalam majlis itu seramai 8,000 orang belia sekitar Muar yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan menerima bantuan tersebut. Razali yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata kenyataan itu juga menyinggung perasaan pakar ekonomi negara yang selama ini mencari idea cara untuk meringankan bebanan rakyat.

Razali berkata, BR1M bukan diberi secara automatik kepada mereka yang pendapatan keluarganya kurang daripada RM3,000 sebulan, sebaliknya pemohon perlu mengemukakan permohonan sebelum diluluskan. Oleh itu katanya, ahli-ahli Pas dan parti pembangkang lain boleh menolak bantuan tersebut dengan tidak mengemukakan permohonan.

Di KOTA BAHARU, Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan Prof Madya Mohd Noor Deris berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz terkeluar dari landasan Islam.

"Sebagai orang yang berpendidikan agama dan ulama sepatutnya beliau (Nik Abdul Aziz) lemah lembut dalam percakapan kerana Islam sendiri mengajar kita bersikap demikian," katanya kepada pemberita.

Mohd Noor berkata, kenyataan yang keras itu boleh menyebabkan penyokong PAS tidak yakin dengan matlamat perjuangan parti itu dan berpaling tadah dan memberi sokongan kepada parti lain.

Beliau mengajak rakyat Kelantan berfikir dan mengkaji kebenaran kenyataan pemimpin PAS itu.

Artikel Lain