suria

Gantung Projek Pembangunan Persekutuan Tidak Profesional - Ali Rustam

MELAKA: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggantung pelaksanaan semua projek jalan raya dan prasarana kerajaan persekutuan di negeri itu sebagai tidak profesional dan beremosi.

Beliau berkata keputusan tersebut akan merugikan negara dan seluruh rakyat negara ini untuk menikmati pembangunan yang seimbang.

"Kita sebagai kerajaan yang mentadbir di sesebuah negeri perlu mengambil kira kebajikan rakyat dan bukannya mentadbir mengikut emosi kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat.

"Menteri Besar macam itu (Abdul Khalid) tidak ada kualiti pemimpin yang boleh membawa kebaikan kepada semua orang. Rakyat Selangor akan rugi jika terus berada di bawah pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Industri Kecil Sederhana (FIKS) 2013 di sini, Sabtu.

Beliau mengulas laporan akhbar semalam tentang kenyataan Abdul Khalid mengenai penggantungan projek berkenaan.

Mohd Ali berkata sesebuah kerajaan negeri tidak kira di bawah pentadbiran pembangkang mahupun Barisan Nasional seharusnya bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi pembangunan negara.

Justeru beliau berharap rakyat di negeri Melaka terutama di kawasan pembangkang dapat memberi peluang kepada Barisan Nasional untuk terus membangun negeri itu dengan lebih pesat. -BERNAMA

Artikel Lain