suria

Shell Malaysia Nafi Spekulasi Tutup Operasi Di Sarawak

MIRI: Shell Malaysia menafikan spekulasi bahawa syarikat bercadang untuk menutup operasi di Sarawak tetapi mengesahkan bahawa perumahan kakitangan di Kem Piasau akan ditutup menjelang September tahun ini.

Kem Piasau wujud sejak tahun 50-an.

Pengerusi Shell Malaysia Iain Lo berkata Miri akan terus menjadi ibu pejabat Shell bagi operasi huluan dan untuk membuktikan komitmen jangka panjangnya, syarikat merancang untuk menambah baik pejabat di Lutong, di sini, untuk mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif.

"Kami mengembangkan perniagaan kami di Sarawak. Mengikut Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dengan Petronas pada tahun lepas sahaja, kami telah menandatangani tujuh perjanjian.

"Lima blok eksplorasi dan selebihnya untuk tujuan lanjutan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Shell Malaysia Exploration and Production di sini, Jumaat. "Saya sendiri akan berpindah ke Miri," katanya, sambil menambah, walaupun Kem Piasau akan ditutup, Shell Malaysia tidak akan melepaskan tanah itu, kecuali bagi lot tepi sungai.

Beliau berkata beberapa kakitangan Shell yang berpangkalan di sini akan dipindahkan ke Sabah sebagai sebahagian rancangan syarikat itu untuk menyokong pertumbuhan industri minyak di sana. -BERNAMA

Artikel Lain