suria

Pembangkang Nafi Ada Kaitan Isu Lahad Datu

SUBANG JAYA: Pakatan Rakyat pada Khamis menafikan laporan Reuters yang mendakwa pencerobohan 100 lelaki bersenjata di Lahad Datu atas jemputan pihak pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataan itu datang daripada Umno bukan Reuters.

"Itu Umno punya kenyataan bukan Reuters, siapa yang beritahu? Itu Umno punya," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Institut Rakyat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung perkara itu, beliau hanya berkata: "Saya tak mahu komen."

Reuters pada 14 Februari lalu melaporkan seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata bahawa kumpulan lelaki itu merupakan pengikut Sultan Sulu yang telah dijemput ke Sabah oleh seorang ahli politik daripada pihak pembangkang bagi menbincangkan mengenai isu tanah.

Kumpulan yang dianggotai 100 orang itu diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram, adik kepada Sultan Sulu, Jamalul Kiram III, mendesak bertemu 'personaliti' tertentu apabila rundingan tersebut berlarutan.

Kumpulan berkenaan sebelum ini menuntut pengiktirafan sebagai tentera Sulu daripada kerabat Sultan Sulu, meminta agar komuniti Suluk, yang telah lama berada di Sabah tidak dihantar pulang.

Artikel Lain