suria

Konflik DAP-PKR Johor Akan Kembali Pulih - Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR: Konflik perbalahan antara DAP dan PKR Johor berhubung pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan diselesaikan kata Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Beliau berkata, konflik yang berlaku itu tidak akan menimbulkan masalah yang berterusan kerana hubungan antara kedua-dua pihak akan kembali seperti biasa.

"Tiada masalah, mereka akan kembali (berbaik). Saya lihat ia adalah 'happy ending' (pengakhiran yang baik).

"Ia(konflik) adalah perasaan peribadi mereka. Ia akan berakhir dengan baik, jangan risau," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen DAP secara dalam talian bagi mengumpul dana untuk PRU-13 di sini, Jumaat.

Konflik mengenai perbalahan kerusi itu melibatkan Pengerusi DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau dan Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng.

Tan yang juga Ahli Parlimen Cheras berkata, kedua-dua mereka menunjukkan kesudian masing-masing untuk kembali memperbaiki hubungan.

Penyelesaian itu katanya harus dilakukan kerana Johor merupakan 'saham' untuk Pakatan Rakyat menawan negeri itu yang pada masa ini merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN).

"(Dan) Kes tersebut tidak perlu dibawa ke Jawatankuasa Disiplin DAP kerana ia hanyalah luahan perasaan mereka dan bukannya perkara yang melibatkan disiplin," katanya.

Ketika ditanya adakah konflik tersebut akan menjejas persiapan Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya, Tan berkata, tidak sama sekali dan semuanya berjalan dengan lancar.

Mengenai pembahagian kerusi DAP, PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di sesetengah kawasan yang menyaksikan persaingan antara parti, Tan berkata, terdapat kerusi yang kekal 'bertindih' tetapi perkara itu akan diselesaikan secepat mungkin.

"Apabila diselesaikan nanti, ia akan berada dalam skala penuh termasuk pengesahan kerusi untuk setiap parti.

"Lebih 90 peratus (pembahagian kerusi) sudah pun dilakukan," kata Tan lagi.

Artikel Lain