suria

Cadangan Kerajaan Selangor Henti Projek Persekutuan Merugikan Rakyat - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama anggota-anggota Barisan Nasional (BN) Sarawak menunjukkan isyarat "1Malaysia" pada majlis perjumpaan di Kuching, Sarawak, Jumaat. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama anggota-anggota Barisan Nasional (BN) Sarawak menunjukkan isyarat
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud bersama anggota-anggota Barisan Nasional (BN) Sarawak menunjukkan isyarat "1Malaysia" pada majlis perjumpaan di Kuching, Sarawak, Jumaat. -fotoBERNAMA

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan cadangan kerajaan Selangor untuk menghentikan projek-projek kerajaan persekutuan hanya akan merugikan rakyat negeri itu.

Beliau berkata pertikaian sehingga menghentikan projek tidak sepatutnya berlaku kerana ia akan merugikan rakyat dan pembangunan juga akan terbantut di Selangor.

"Kita akan bincang perkara ini dan tentukan apa tindakan yang patut kita lakukan sama ada kita minta perintah mahkamah atau apa-apa tindakan selanjutnya. Apapun mereka hendak lakukan, pokoknya rakyat akan rugi," kata pengerusi BN itu pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan khas dengan pemimpin dan anggota Majlis Tertinggi parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri di sini, Jumaat.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Selangor yang menggantung semua projek jalan raya dan prasarana kerajaan persekutuan sebagai tindak balas keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Mahkamah memutuskan Majlis Perbandaran Sepang tiada kuasa mengeluarkan notis meruntuhkan tiang dan menutup kamera AES itu.

Dalam pada itu, Najib mencabar Pakatan Rakyat supaya turut menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International.

"Selama ini mereka tuduh macam-macam terhadap BN. Kita sudah sanggup tandatangani Ikrar Integriti ini, sepatutnya kalau betul mereka perjuangkan soal salah guna kuasa dan rasuah, inilah masanya mereka buktikan pendirian mereka yang konsisten dan tegas dalam hal ini tetapi mereka enggan untuk tandatanganinya pula," katanya.

Ikrar Integriti itu dapat membendung salah guna kuasa, membeli undi, salah guna wang dan juga sumbangan kepada parti politik yang sepatutnya masuk ke dalam akuan parti, yang boleh disabitkan di bawah Akta Pilihan Raya, kata beliau.

Perdana menteri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang parti itu tidak akan menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya bersama Transparency International Malaysia (TI-Malaysia). - BERNAMA

Artikel Lain