suria

Penoreh Getah Didakwa Bunuh Ibu Tunggal

MARAN: Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu terhadap pertuduhan membunuh seorang ibu tunggal awal bulan ini.

Shahrom Sharif, 35, dituduh membunuh Rapingah Hassim, 57, di kawasan paya ladang getah peringkat 1, Felda Bukit Tajau, di antara 8.30 pagi hingga 11.30 pagi, 2 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali kemudian menetapkan 10 April ini sebagai tarikh sebutan bagi laporan kimia dan bedah siasat.

Di mahkamah sama, Shahrom dijatuhi hukuman penjara dua bulan selepas mengaku bersalah mencuri getah beku bernilai RM144 milik Saudi Husin, 48 di ladang getah peringkat 2, Felda Bukit Tajau, pada 8.30 pagi hingga 12 tengah hari, 5 Februari lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Noor Zaihan mengarahkan hukuman berjalan dari tarikh tangkap 5 Februari lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ellyna Othman. BERNAMA

Artikel Lain