suria

Penjaga Stor Dipenjara 7 Bulan Curi Meter Air

KUALA LUMPUR: Seorang penjaga stor pada Khamis dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mencuri 21 unit meter air dan gagal menunjukkan kad pengenalan, Ahad lepas.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin memerintahkan Mohamed Shukri Othman, 27, menjalani hukuman itu secara serentak dari tarikh dia ditangkap pada 18 Februari lepas.

Mahkamah menjatuhi hukuman penjara tujuh bulan terhadap Mohamed Shukri bagi kesalahan mencuri selain penjara dua minggu bagi kesalahan gagal menunjukkan kad pengenalan.

Mohamed Shukri dari Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang, didakwa mencuri 21 unit meter air milik BS Management yang dikawal oleh Md Raji Bahauddin, 63, seorang penyelia keselamatan di rumah kedai Counought Avenue, Jalan 9, Taman Bukit Cheras, di sini pada 7.20 pagi 17 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohamed Shukri juga didakwa mengikut Peraturan 25(1)(n) 1960 pindaan 427/1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda, jika sabit kesalahan kerana gagal menunjukkan kad pengenalan pada masa, tarikh dan tempat sama.

Dalam rayuannya, Mohamed Shukri yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung ibunya yang sakit.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kee Wei Lon. BERNAMA

Artikel Lain