suria

Pemuda BN Pulau Pinang Kecewa ADUN Komtar Putar Belit Fakta Facebook BN

GEORGE TOWN: Pemuda Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kecewa dengan kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Komtar Ng Wei Aik yang memutarbelitkan fakta mengenai jumlah 'like' yang terkumpul dalam laman sosial Facebook BN Pulau Pinang.

Ketua Pemuda BN Negeri Oh Teong Keong berkata Ng yang juga Setiausaha Pemuda DAP (DAPSY) Pulau Pinang dilihat sengaja mengelirukan perbezaan antara jumlah 'like' dan 'friends of fan' untuk dijadikan modal politik DAP.

"Pada Ahad lepas, Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow mengumumkan lebih 10,000 telah 'like' Facebook BN Pulau Pinang, manakala hampir 3 juta merupakan 'friends of fans', tetapi Ng dilihat cuba memutar belitkan fakta itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Menurut Oh, Ng juga menuduh Teng sebagai buta Facebook dan menipu memberikan jumlah 'friends of fan' sebagai jumlah 'like' bagi menunjukkan ramai yang mengikuti facebook BN Pulau Pinang.

"Sebenarnya Ng yang cuba mengelirukan dan tidak faham apa yang Teng maklumkan," katanya sambil mendesak agar Adun berkenaan meminta maaf secara terbuka kepada Teng kerana tindakannya jelas menunjukkan beliau sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti dan imej negatif Pengerusi BN itu.

"Sebagai seorang Adun, beliau (Ng) perlu bertanggungjawab dalam usaha meningkatkan taraf sosial ekonomi rakyat negeri, bukannya mencari isu remeh-temeh sebagai modal politik yang tidak memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya meminta beliau menghentikan perbuatan yang tidak bertanggungjawab ini dan membetulkan kenyataannya secara terbuka menerusi media," katanya.

Oh berkata pihaknya tidak hairan jika Ng tidak boleh membezakan angka di antara kategori 'like' dan 'friend of fan' kerana partinya sendiri membuat kesilapan dalam pengiraan undi ketika pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), membabit hanya 1,800 undi.

"Tidak menghairankan jika dia tidak boleh membezakan 10,317 'like' dan 2,929,402 klik untuk 'friends of fan' yang tercatat pada laman Facebook BN itu," katanya.

Baru-baru ini, Teng dilaporkan berkata laman sesawang yang dilancarkan pada 17 Jun lepas itu sebagai usaha mendekati pengundi peringkat akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan ia mendapat sambutan baik berdasarkan jumlah 10,317 'like' dan 2,929,402 menjadi 'Friends of Fan'.

Pendekatan laman interaktif sosial Twitter dan Facebook serta laman web BN dijadikan platform bagi menyampaikan kepada seluruh penduduk negeri ini mengenai usaha yang dilakukan kerajaan sebagai kaedah berkesan meyakinkan pengundi. BERNAMA

Artikel Lain