suria

Kemenangan PRU-13 Penting Untuk Bentuk Kerajaan Islam - Nik Aziz

KOTA BARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang amat penting untuk parti itu dalam mencapai matlamat membentuk sebuah kerajaan Islam bagi menggantikan kerajaan sekular sedia ada.

"Hanya parti politik berlandaskan Islam dalam perjuangan mereka akan selamat di dunia dan akhirat.

"Sekiranya Umno ingin bekerjasama dengan PAS, mereka harus menghentikan nasionalisme dan mengamalkan Islam dalam polisi mereka," kata Menteri Besar Kelantan itu yang baru pulang mengerjakan Umrah.

Nik Aziz turut mengkritik bantuan kewangan yang dihulurkan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat dan berkata, Islam menggalakkan penyebaran ilmu dan tidak menyukai perbuatan boros.

Beliau berkata, pemberian bantuan itu seperti memberikan hampas kelapa dan padi serta jerami kepada ayam dan lembu’.

"Pemberian wang itu mendapat sambutan kerana sama dengan ayam dan lembu yang akan datang sekiranya manusia memberikan haiwan tersebut makanan yang digemari," katanya yang merujuk kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang diterima rakyat di seluruh negeri ketika ini.

Di bawah BR1M 2.0, kira-kira 2.7 juta individu bujang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 akan menerima RM250 manakala 4.3 juta isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan menerima RM500.

Artikel Lain