suria

Kajian Pelan Pembangunan Sistem Pengangkutan Di Pulau Pinang Akan Dimulakan - SPAD

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) akan memulakan kajian dalam tempoh terdekat bagi menyediakan pelan pembangunan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata laporan kajian itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh 12 hingga 16 bulan dengan meneliti segala aspek berkaitan secara menyeluruh selain mengambil kira pandangan serta kehendak masyarakat di negeri ini.

Selain itu, katanya SPAD turut akan mengkaji kesesuaian mewujudkan rangkaian pengangkutan menggunakan sistem rel bagi meningkatkan kecekapan dan menambah baik mutu perkhidmatan awam di negeri ini.

"Setakat ini SPAD melihat keperluan untuk menambah bilangan bas dan teksi. Tetapi kita sedar langkah itu ada hadnya. Justeru kita turut melihat kepada alternatif lain seperti menyediakan pengangkutan awam seperti monorel dan seumpamanya sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan pejabat baharu SPAD di Bayan Baru di sini Khamis.

Pejabat berkenaan dijangka memberi kemudahan kepada lebih 7,000 pengendali pengangkutan awam darat di negeri ini untuk berurusan dengan SPAD.

Syed Hamid turut membidas pendapat segelintir masyarakat bahawa Pulau Pinang tidak sesuai dibangunkan sistem monorel dan meminta semua pihak memberi ruang kepada SPAD untuk menyelesaikan kajian mereka.

"Janganlah buat kesimpulan terlalu awal kerana kajian pun belum dijalankan. Kita akan lantik individu berkelayakan untuk melihat perkara ini dan apabila ia selesai nanti baru kita tahu apa yang sesuai apa yang tidak," katanya. BERNAMA

Artikel Lain