suria

Azizan Tetap Jadi Calon PRU13 - Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan parti itu akan tetap mencalonkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak Azizan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13 ini.

Beliau berkata nama Azizan terdapat dalam senarai calon yang bakal bertanding dan tiada sebarang isu berbangkit mengenai calon yang akan menggantikan Azizan sebagai Menteri Besar Kedah.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai desakan 11 Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah semalam yang dipercayai sepakat mendesak Azizan supaya berundur dan melepaskan jawatan Pesuruhjaya PAS negeri kerana dianggap lemah dalam menerajui parti itu.

Abdul Hadi berkata PAS menganggap tentangan anggota-anggota PAS Kedah terhadap Azizan itu sebagai masalah kecil.

Katanya masalah tersebut akan diselesaikan segera dan yakin rakyat Kedah akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS untuk mentadbir negeri berkenaan.

"Kita menganggap itu 'berita pilihan raya', biasalah...tapi kita akan selesaikan semua masalah dan yakin serta percaya rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Treler Negara Berkebajikan PAS di hadapan Pejabat Agung PAS Pusat di sini, Khamis.

Ditanya sama ada kepimpinan PAS akan mengikut jejak langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya, Abdul Hadi berkata tiada keperluan untuk PAS berbuat demikian.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata setakat ini beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai adanya masalah dalaman PAS Kedah.

"Saya tak terima apa-apa laporan pun setakat ini. Media saja yang lapor. Tiada sebarang isu ada bahagian PAS yang tak sokong Azizan terus pimpin Kedah.

"Setakat ini PAS juga amat berpuas hati dengan prestasi Azizan sebagai Menteri Besar," katanya.

Terdahulu Abdul Hadi melancarkan sebuah treler 40 tan bernilai hampir RM300,000 dilengkapi kemudahan wifi, sistem audio, projektor dan pentas untuk aktiviti ceramah Pas dan rakan pakatan pembangkangnya, PKR dan DAP, di seluruh negara. BERNAMA

Artikel Lain