suria

Selangor Tak Perlu Bangga Dengan Statistik Pelaburan Tertinggi

SHAH ALAM: Meskipun kerajaan Selangor mendakwa mencatat kemasukan pelaburan tertinggi di Malaysia dalam 10 bulan pertama tahun lepas tetapi jumlah sebenar projek yang telah bermula pelaksanaannya disangsikan, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata sejak negeri itu dilanda masalah bekalan air pada tahun lepas, beberapa projek perkilangan dan perumahan baharu tidak dapat dilaksanakan kerana Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tidak dapat menjamin bekalan air yang cukup untuk kilang atau rumah baharu siap dibina.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian dalam program 'Debat Jom Tolak Pakatan' yang turut disertai Penasihat Waris Malaya Datuk Zulkifli Nordin anjuran Sekretariat Jom Tolak Pakatan di Padang Jawa di sini malam Selasa.

Setakat ini 450 projek baharu di Selangor tidak dapat dimulakan kerana air tidak cukup bila projek itu siap nanti dan ini mengakibatkan kehilangan peluang pekerjaan sebanyak 20,000 kepada rakyat Selangor, katanya.

"Inilah akibatnya jika air hendak dipolitikkan oleh kerajaan negeri yang tidak sehaluan dengan Syabas mengakibatkan rakyat menjadi mangsa.

"Berbeza dengan Barisan Nasional yang melihat air ini penting dan telah bertindak dan bukan hanya bercakap bagi mengatasi masalah air dalam jangka masa panjang dengan melakukan projek mitigasi bekalan air melalui peruntukan RM606 juta yang menyaksikan sebuah loji rawatan air baharu bernilai sekitar RM200 juta siap dibina di Sungai Labu pada tahun lepas.

"Loji ini kemudiannya diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diuruskan dan kalau kerajaan Persekutuan hendak bermain politik mengapa loji ini diserahkan kepada kerajaan negeri?" katanya.

Sementara itu, Zulkifli mengingatkan anggota dan penyokong PAS supaya melihat kembali arah perjuangan parti itu yang sudah terpesong daripada landasan Islam dan terdedah kepada pengaruh-pengaruh asing.

Beliau berkata DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak menghormati keputusan dibuat Majlis Syura Ulama PAS yang menetapkan Kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam atas sebab akidah.

Selain itu, tegasnya gerakan-gerakan propembangkang di Malaysia telah diresapi anasir-anasir luar yang ingin menumbangkan kerajaan sedia ada sebagaimana berlaku di Mesir, Tunisia dan Libya.

Zulkifli sendiri mengakui semasa beliau bersama gerakan pembangkang dahulu, beliau sendiri pernah mendapat latihan di New York, Amerika Syarikat, Vienna, Austria dan Filipina mengenai modul-modul menumbangkan kerajaan menerusi politik jalan raya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain