suria

Polis Tangkap Lelaki Samun Suri Rumah

PASIR MAS: Polis Pasir Mas menahan seorang lelaki disyaki menyamun barangan kemas seorang suri rumah di Kampung Batu Karang di sini Selasa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Haliluddin Rahim berkata lelaki berumur 22 tahun itu ditahan selepas bergelut dengan polis di rumahnya ketika cuba melepaskan diri di Kampung Bukit Pak Junuh, tidak jauh dari tempat kejadian kira-kira pukul 7.45 malam.

Katanya polis menjumpai semula barang kes yang disamun daripada suri rumah itu iaitu dua utas rantai tangan, seutas rantai leher dan sebuah telefon bimbit, kesemuanya bernilai kira-kira RM40,000.

"Kita juga merampas sebilah parang dan sebilah pisau yang digunakan suspek ketika bergelut dengan polis sewaktu cuba menangkapnya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di sini, Rabu.

Haliluddin berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi Selasa, suri rumah berumur 35 tahun itu sedang tidur bersama anak perempuannya berumur 10 bulan apabila didatangi dua lelaki bersenjatakan sebilah parang dan mengacukan senjata itu ke lehernya sebelum menyamun barangan kemas dan telefon bimbitnya.

"Kita juga sedang memburu seorang lagi rakan suspek yang identitinya telah dikenal pasti dan dipercayai penduduk tempatan," katanya.

Siasatan lanjut polis mendapati suspek yang ditahan itu positif dadah tetapi tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan disebat.

Katanya suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain