suria

Kerajaan Selangor Tawar RM9.65 Bilion Ambil Alih Syarikat Konsesi Air

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) pada Rabu membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata KDEB akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada empat syarikat konsesi air di negeri ini petang Rabu.

"Surat tawaran kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) akan dikeluarkan secara rasmi oleh KDEB petang ini (Rabu).

"Pengambilalihan ini adalah untuk mengembalikan hak air kepada rakyat Selangor.

"Kerajaan yang dipilih oleh rakyat berhak menguruskan industri air," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Abdul Khalid berkata keempat-empat syarikat konsesi mempunyai tempoh 14 hari untuk menyatakan persetujuan mereka dalam urusan pengambilalihan tersebut.

"Mereka (syarikat konsesi) perlu adakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk memanggil semua pemegang saham mengenai urusan pengambilalihan ini," katanya.

Beliau berkata kesemua syarikat konsesi sepatutnya menerima tawaran tinggi yang diberikan kerana ia akan menyelesaikan masalah penswastaan air yang ternyata gagal memberi perkhidmatan cemerlang kepada rakyat.

Justeru beliau berharap semua syarikat konsesi air tidak memprejudiskan usaha kerajaan dalam urusan pengambilalihan.

"Kita juga yakin tawaran ini tidak akan merugikan syarikat-syarikat berkenaan kerana jumlah ini merupakan pulangan 12 peratus setahun terhadap ekuiti mereka miliki berbanding dengan pulangan lazim bagi industri air iaitu hanya 6 peratus.

"Pengambilalihan ini juga akan tamatkan era monopoli oleh mana-mana individu atau syarikat. Semua liabiliti dan aset mereka akan diambilalih oleh KDEB menerusi menerusi "Special Purpose Vehicle"," katanya.

Beliau juga berharap proses pengambilalihan ini dapat berjalan lancar demi mempertahankan hak air rakyat Selangor.

"Kerajaan Negeri telah menerima surat daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui namun jawapan menteri itu tidak banyak membantu menyelesaikan masalah ini.

"Dalam suratnya menteri juga berkata Kerajaan Persekutuan tidak ada masalah untuk kerajaan negeri memulakan proses pengambilalihan ini," katanya.

Ditanya sekiranya keempat-empat syarikat konsesi enggan menerima tawaran berkenaan, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menggunakan Akta Perkhidmata Industri Air 2006 (Akta 655).

"Kita juga sedia maklum Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa penentu selaku pemegang saham emas seperti yang termaktub dalam (Akta 655).

"Kalau mereka (syarikat konsesi air) tolak juga maknanya mereka menolak tawaran rakyat Selangor. Ini kerana Selangor konsisten hak air perlu diberikan kepada rakyat Selangor," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain