suria

Tolak Campur Tangan Asing, Senator Malaysia Persoal Cubaan Xenophon

KUALA LUMPUR: Beberapa senator Malaysia yang dengan keras menolak campur tangan asing dalam urusan demokrasi Malaysia, hari ini tampil mempersoal niat sebenar senator dari Australia Nick Xenophon yang kononnya cuba hendak memastikan pilihan raya umum ke-13 bersih dan telus.

Mereka berpendapat Malaysia tidak memerlukan individu asing atau pihak luar yang cuba memandai-mandai mengajar kerana Malaysia telah dikenali dunia sebagai antara negara yang mengamalkan sistem demokrasi terbaik dan teruji sejak merdeka.

Senator Datuk Boon Som Inong berkata hasil amalan demokrasi raja berperlembagaan jugalah Malaysia dikenali dunia sebagai negara yang aman dan stabil politiknya serta menikmati kadar pertumbuhan ekonomi yang baik dan pembangunan pesat.

"Siapalah dia (Xenophon) hendak mengajar kita? Masyarakat majmuk Malaysia sudah hidup bersama dalam aman damai dan saling menghormati antara satu sama lain sejak sekian lama, jadi tidak perlulah senator Australia ini untuk menunjuk pandai. "Senator kita sendiri tidak pernah campur tangan dalam urusan dalaman negara lain kerana kita sedar setiap negara mempunyai acuan demokrasi unik dan tersendiri. Kita juga tidak mahu orang luar cuba mempersoalkan kedaulatan kita," katanya kepada Bernama.

Boon Som mengucapkan tahniah kepada Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Datuk Alias Ahmad yang berani bertindak tegas menghalang kemasukan Xenophon ke negara ini berdasarkan kedaulatan undang-undang negara.

Senator Datuk Jaspal Singh pula ketika dihubungi Bernama berkata dengan rekod campur tangan Xenophon dalam aktiviti haram di negara ini dahulu, adalah wajar bagi rakyat Malaysia mempersoal niat sebenar senator dari Australia itu.

"Kita perlu tanya kenapa tiba-tiba beliau mahu masuk ke Malaysia menjelang pilihan raya umum ke-13. Pasti ada niat tersembunyi yang bertentangan dengan kerajaan kita atau yang berkepentingan kepada pembangkang. "Ini berdasarkan pelbagai dalih yang dilapor disebutkannya dalam media massa termasuk hendak menemui ketua pembangkang dan kononnya juga hendak berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya. Lagipun dia tidak mewakili kerajaan Australia tetapi atas dasar individu," katanya.

Jaspal juga bangga dengan tindakan tegas Alias menghalang kemasukan elemen tidak diingini itu ke Malaysia kerana langkah itu dianggapnya mencegah pihak asing menyebar maklumat jahat dan mempengaruhi rakyat secara tidak wajar.

Beliau berkata adalah lebih baik bagi Xenophon menumpukan perhatiannya dalam negara sendiri yang juga akan menghadapi pilihan raya tidak lama lagi.

Presiden protem Majlis Senator Malaysia Datuk Mohammed Najeeb Abdullah turut menyokong tindakan Imigresen yang mengusir senator Australia yang mungkin mempunyai niat tidak baik untuk mencampuri urusan dalaman Malaysia termasuk proses pilihan raya.

Beliau berkata berstatus sebagai senator bukanlah tiket untuk mana-mana pihak melanggar undang-undang sesebuah negara, apatah lagi negara berdaulat yang lain seperti Malaysia.

Kedatangan untuk menjadi pemerhati pilihan raya juga perlulah atas jemputan antara kerajaan dengan kerajaan dan bukannya atas jemputan pihak tertentu, katanya. "Amatlah tidak wajar untuk dia hadir dan memberikan ulasan dan mencampuri pilihan raya kita. Apabila bukan undangan daripada kerajaan, padangan dia akan berpihak kepada siapa rakan yang menjemputnya ketika itu.

"Kita perlu menghormati undang-undang sesebuah negara itu. Kedatangan beliau tidak mewakili kerajaan Australia sebaliknya atas kapasiti peribadi sebagai rakyat Australia," katanya ketika dihubungi di sini.

Senator Datuk Syed Ibrahim Kader pula menyifatkan tindakan senator bebas Australia itu yang cuba mencampuri urusan politik negara ini adalah agenda yang cuba dicetus pembangkang.

"Siapa dia (Xenophon) nak masuk campur dalam hal kita? Dia bukannya senator yang mewakili seluruh dunia, dia hanya layak di negara (Australia) dia sahaja. "Kalau dia benar-benar ikhlas dia harus menggunakan saluran yang betul iaitu berjumpa dengan kepimpinan kerajaan kita. Apakah agenda yang cuba disembunyikan oleh beliau (Xenophon) kalau tidak bersubahat dengan pembangkang?" katanya.

Beliau yang juga Presiden Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) berkata pembangkang hari ini sebenarnya sudah ketandusan isu untuk dijaja kepada rakyat dan cuba menggunakan orang luar untuk memberi pandangan negatif tentang negara ini semata-mata bagi menarik perhatian rakyat.

Beliau berkata Malaysia dan Australia selama ini mempunyai hubungan yang baik dan tindakan ke atas Xenophon diharap tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Seorang lagi Senator, Norliza Abdul Rahim berpendapat kemasukan Xenophon ke negara ini tidak sesuai memandangkan negara bakal menghadapi pilihan raya umum dan kedatangannya pasti akan menimbulkan isu di kalangan ahli politik dan masyarakat.

"Saya rasa penahanan beliau daripada memasuki negara ini memang patut kerana kita sedang bersiap sedia untuk pilihan raya. Tetapi kalau beliau nak datang ke Malaysia selepas pilihan raya umum, beliau amat dialu-alukan," katanya.

Ditanya mengenai keperluan campur tangan orang luar dalam politik negara, Norliza berkata perkara sebegitu tidak perlu kerana hanya rakyat Malaysia yang berhak memilih dan menentukan kerajaan pilihan mereka.

"Malaysia adalah antara negara demokrasi yang dipandang tinggi di mata dunia. Namun setiap rakyat juga mestilah bijak membuat keputusan sendiri tanpa perlu dipengaruhi pihak luar yang boleh kita curigai motif sebenar kedatangannya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain