suria

Pembangkang Tergugat Dengan Sokongan Terhadap BN - Muhyiddin

SUNGAI SIPUT: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pembangkang mula berasa tergugat dengan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) sehingga sanggup membuat pelbagai tohmahan.

Beliau berkata pembangkang cuba menunjukkan kepada rakyat kononnya tiada muafakat dalam BN sehingga menyebabkan pemimpin bertelagah sesama sendiri.

"Jangan kita mudah terpedaya dengan tipu helah parti pembangkang yang hendak menunjukkan tidak ada perpaduan dan ada perpecahan (dalam BN)," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Kegiatan Kemas Sungai Siput di sini, Selasa.

Beliau diminta mengulas kenyataan PAS Perak dalam sebuah portal berita hari ini yang mendakwa mereka mendapat maklumat dalaman bahawa Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan digugurkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Mengulas kedudukan BN di Perak, Muhyiddin berkata kedudukan perikatan itu di Perak kini stabil manakala pembangkang pula sudah tidak bermaya di negeri ini.

"BN peringkat negeri dibantu oleh pusat bukan setakat untuk menstabilkan, tetapi juga meneruskan proses pembangunan. "Ini nyata di hadapan kita. Bukan kita boleh buat-buat. Rakyat tahu dan situasi jauh lebih baik sekarang berbanding dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai calon BN bagi kerusi Parlimen Sungai Siput selepas Zambry dalam ucapannya menyatakan bahawa pengerusi BN Sungai Siput Datuk Seri S. Samy Vellu tidak akan bertanding di kawasan berkenaan, Muhyiddin berkata nama calon akan diumumkan bila tiba masanya.

"Prinsip dalam BN kita hormati dan kita ambil kira semua faktor. Yang penting sesiapa sahaja yang terpilih, dia bukan mewakili diri dia, dia mewakili BN dan dasar bukan dasar dia, tetapi dasar BN," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain