suria

Pembangkang Sepakat Manifesto Adalah Janji

PETALING JAYA: Pembangkang memberi jaminan bahawa tawaran yang terkandung dalam manifesto bersama Pakatan Rakyat merupakan satu perjanjian kepada rakyat sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana pihaknya yakin kandungan manifesto kali ini merupakan satu tawaran yang rasional serta praktikal untuk dilaksanakan.

"Persoalan sama ada ini (manifesto) adalah komitmen kepada rakyat atau tidak, ya ia adalah komitmen (janji) kami kepada rakyat.

"Kita sudah buat perkiraan, semak semua angka-angka sama ada semua janji-janji ini praktikal ataupun tidak dan kami sangat yakin, apa jua yang kita tawarkan sebagai janji dalam manifesto, insyaAllah akan dilaksanakan kerana ia boleh dilaksanakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Selasa.

Pakatan pembangkang bakal melancarkan manifesto bersama bertemakan Pakatan Harapan Rakyat Isini depan yang mengandungi empat teras utama iaitu Rakyat Bersaudara, Ekonomi Rakyat, Kesejahteraan Rakyat dan Kerajaan Rakyat.

Menurut Mohd Rafizi, manifesto berkenaan akan menggabungkan kesemua dasar bersama pakatan pembangkang termasuk janji Buku Jingga yang dilancarkan pada 2010 selain pandangan menerusi memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat.

Sebelum ini kerajaan Pakatan Rakyat Selangor pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata bahawa terdapat kandungan manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 merupakan 'bukan satu perjanjian' yang perlu ditunaikan.

Artikel Lain