suria

Konflik Pakatan Pembangkang Di Johor Bukti Tiada Persefahaman - Muhyiddin

SUNGAI SIPUT: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata konflik yang berlaku antara DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR)di Johor membuktikan tiada muafakat dan persefahaman dalam pakatan pembangkang.

Beliau berkata konflik yang mencetuskan perbalahan terbuka di kalangan parti pembangkang itu memberi gambaran yang tidak baik dan akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap mereka.

"Soal kerusi pun tak boleh selesai kalau esok ada pilihan raya dia (pakatan pembangkang) akan bergaduh dan tentu tidak ada kesepakatan dari segi kerusi. "Dari segi hala tuju dan dasar pun mereka tidak ada dalam haluan yang sama. Ini hakikat yang ada dalan pakatan pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Kegiatan Kemas Sungai Siput di sini, Isnin.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai konflik yang berlaku dalam pakatan pembangkang di Johor sehingga menyebabkan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh menyuarakan kebimbangannya dalam satu kenyataan semalam.

Karpal dilaporkan berkata konflik antara DAP dan PKR di Johor kini mencetus perbalahan terbuka dan boleh menggugat persefahaman mengenai peruntukan kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau dilaporkan berkata DAP memandang berat penegasan pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau bahawa pengerusi PKR Johor Chua Jui Meng sedang melancarkan kempen secara rahsia terhadap DAP di Johor.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata beliau telah mengandaikan bahawa konflik seperti itu akan akan berlaku di kalangan parti dalam pakatan pembangkang.

"Saya dah andai dah. Cerita ni sudah lama, agaknya ia sudah menggelegak. Chua, dia PKR tetapi orang dalam PKR pun tak berapa yakin dengan dia.

"Orang DAP macam Karpal kata dia (Chua) bekas pemimpin MCA yang telah meninggalkan parti, lepas tu nak masuk PKR, dia tak berapa yakin," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain