suria

Kes Saman Ahli Parlimen Indera Mahkota Terhadap Utusan Selesai Luar Mahkamah

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah RM29 juta yang difail anggota Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail terhadap Utusan Melayu (Malaysia)Berhad diselesaikan hari ini selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Kedua-dua pihak merekodkan penyelesaian itu di hadapan Hakim Datuk Hue Siew Kheng di dalam kamar beliau pada Isnin.

Peguam defendan T K V Mohanakumar memberitahu pemberita antara penyelesaian yang dipersetujui kedua-dua pihak, akhbar harian itu akan menerbitkan pembetulan dan pernyataan memohon maaf dalam tempoh tujuh hari mulai hari ini.

Sementara itu peguam Azan, Vasudevan Appu berkata defendan bersetuju membayar sejumlah wang kepada plaintif iaitu sebahagian daripada penyelesaian. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlahnya.

Plaintif daripada Parti Keadilan Rakyat menamakan editor akhbar Utusan Zulkiflee Bakar dan Utusan sebagai defendan selepas mendakwa Zulkiflee menulis satu artikel berunsur fitnah dalam akhbar Utusan edisi 6 Mac 2O1O.

Azan mendakwa dalam artikel yang berserta dengan gambar itu mengatakan bahawa beliau telah keluar PKR dan telah meletakkan gambarnya bersama anggota politik lain yang telah keluar daripada PKR sebelum itu.

Tambahnya, defendan kedua pula telah mencetak dan menerbitkan satu laporan susulan pada ruang ralat dalam surat khabar Utusan Malaysia pada 8 Mac 2010 yang menyatakan Azan tidak keluar PKR tetapi meletak semua jawatan dalam PKR termasuk Timbalan Pengerusi Perhubungan Negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.

Azan mendakwa kedua-dua laporan itu boleh menjatuhkan air muka serta maruahnya. -BERNAMA

Artikel Lain