suria

KDN Tarik Balik Larangan Tayangan Filem Vishwaroopam

KUALA LUMPUT: Kementerian Dalam Negeri (KDN)membenarkan semula tayangan filem kontroversi Tamil 'Vishwaroopam' mulai hari ini.

Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF) Datuk Raja Azahar Raja Abdul Manap dalam kenyataan hari ini berkata kebenaran itu dibuat dengan syarat pihak pengedar mematuhi sepenuhnya keputusan yang ditetapkan lembaga itu iaitu mengenai potongan tambahan yang perlu dibuat ke atas filem itu.

Filem arahan dan lakonan Kamal Hassan itu mula ditayang di seluruh negara 24 Januari lepas, namun dihentikan pada hari kedua selepas mendapat arahan KD Nkerana dikatakan menyentuh sensitiviti umat Islam.

Raja Azahar berkata KDN mengeluarkan arahan penangguhan tayangan filem itu pada 25 Jan bagi tujuan kajian semula setelah menerima aduan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam terutama yang mewakili kaum India Muslim.

KDN juga, katanya, menerima surat bantahan daripada Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dan Persekutuan India Muslim Malaysia (Permim) supaya LPF mengkaji semula filem itu dan memotong babak-babak sensitif yang menghina agama Islam.

Berikutan itu, katanya, satu Panel Khas yang terdiri daripada anggota LPF dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ditubuh dan dua sesi perbincangan diadakan untuk menilai semula kandungan filem itu.

"Pihak Jakim melalui Ketua Pengarahnya (Datuk Othman Mustapha) telah menyatakan persetujuan untuk KDN membenarkan semula tayangan filem itu setelah berpuas hati dengan potongan-potongan yang dilakukan oleh pihak LPF," katanya.

Raja Azahar berkata KDN juga dimaklumkan bahawa terdapat inisiatif untuk bertemu dengan pihak pengedar filem iaitu Lotus Five Star AV (M) Sdn Bhd bersama NGO mewakili kaum India Muslim yang mengadakan bantahan sebelum ini.

"Melalui pertemuan itu, kata sepakat dicapai iaitu tayangan filem itu diteruskan dengan syarat potongan ke atas babak yang menyentuh kesensitifan agama," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain