suria

Usah Terpengaruh Fitnah Kerajaan Pinggir Golongan Belia - Nong Chik

Menteri Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (tengah) menyampaikan Baucer Buku 1Malaysia kepada pelajar-pelajar Universiti Malaya, Isnin. Turut kelihatan, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Datuk Rohana Yusof (enam dari kiri). - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahasiswa negara ini diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan fitnah pihak tertentu kononnya kerajaan menganaktirikan golongan belia di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kenyataan tersebut terbukti tidak benar kerana kerajaan telah mewujudkan pelbagai produk dan inisiatif kepada golongan belia termasuk mahasiswa.

"Contoh terbesar adalah memperkasa Putrajaya sebagai 'bandar mesra belia' yang boleh menghimpunkan pelbagai aktiviti belia bertaraf dunia.

"Begitu juga dengan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) yang diterima pada hari ini jika tahun lalu nilainya RM200, Namun, atas keupayaan kerajaan, ia ditambah kepada RM250," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan BB1M kepada mahasiswa Universiti Malaya (UM) di sini Isnin.

Katanya peruntukan tambahan ditanggung kerajaan melibatkan jumlah RM325 juta untuk 1.3 juta pelajar yang sedang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT), matrikulasi dan Tingkatan Enam, satu lagi bukti kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan ini.

"Dalam Bajet 2013 kerajaan turut umumkan semua belia layak mendapat rebat diskaun RM200 bagi telefon pintar, dan orang muda turut diberi 'hadiah' diskaun pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN)," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nong Chik berkata kerajaan sedia ada yang telah mentadbir negara selama 50 tahun sentiasa berpendirian realistik serta berbelanja mengikut kemampuan dalam menentukan segala bentuk bantuan dan inisiatif kepada rakyat.

Katanya, kerana dasar tersebut yang telah diamalkan sejak merdeka itu juga telah menjadi satu-satunya benteng untuk memperkukuhkan kedudukan sebagai kerajaan yang menepati janji.

"Justeru mahasiswa harus berhati-hati dengan 'janji-janji' pihak tertentu kepada mereka kerana kebanyakan janji mereka hanyalah sekadar janji yang tidak mampu mereka tunaikan," katanya.

Pada majlis itu Nong Chik turut menyampaikan replika cek bernilai RM6,319,750 BB1M untuk seramai 25,279 pelajar Universiti Malaya (UM) yang layak menerima baucar berkenaan. Replika tersebut disampaikan kepada Timbalan Naib Canselor UM, Datuk Prof Rohana Yusof. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain