suria

Sebuah Rumah, Stor Dan Dua Kenderaan Musnah Dalam Kebakaran Di Melaka

MELAKA: Sebuah rumah kongsi yang menempatkan beberapa pekerja pembinaan musnah dalam kebakaran di Kampung Bukit Sepam, Bukit Piatu di sini, Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil Alias Ahmad berkata kejadian pada 2.40 petang itu turut memusnahkan satu daripada tiga stor penyimpanan peralatan serta sebuah kereta dan sebuah lori manakala dua lagi stor terbakar kira-kira 20 peratus.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 3.02 petang dan tiba enam minit kemudian dengan tiga jentera, dua dari Balai Bukit Katil dan satu dari Balai Jalan Kubu bersama 14 anggota dan tiga pegawai.

"Api dalam keadaan marak ketika bomba sampai ke lokasi kejadian dan telah memusnahkan kira-kira 60 peratus rumah kongsi itu sebelum merebak ke tiga stor dan garaj kenderaan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata api berjaya dikawal 47 minit kemudian dan padam sepenuhnya pukul 5.25 petang.

Alias berkata kerja pemadaman mengambil masa yang agak lama disebabkan bahan pembinaan mudah terbakar yang ditempatkan di stor tersebut seperti cat dan kayu.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih disiasat, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain