suria

Representasi Dr Ling Untuk Timbang Semula Pertuduhan Ditolak

Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung perbicaraan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). -fotoBERNAMA
Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung perbicaraan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). -fotoBERNAMA
Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung perbicaraan kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Representasi yang dikemukakan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik supaya menimbang semula pertuduhan terhadapnya dalam kes Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) ditolak oleh Peguam Negara.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memberitahu pemberita bahawa pihaknya menghantar surat penolakan itu kepada peguam Ling, Wong Kian Kheong pada 13 Februari lalu.

Katanya pihak pendakwaan mendapati permohonan tersebut tiada merit.

Dr Ling mengemukakan representasi tersebut pada 9 Okt tahun lepas selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan akauntan Mok Chew Yin memberi keterangan di peringkat pembelaan.

Sementara itu, dalam prosiding pada Isnin Dr Mahathir yang dipanggil untuk menyambung keterangan sebagai saksi pembelaan keempat berkata jumlah nilaian RM21 dan RM25 sekaki persegi (skp) bagi tanah di Pulau Indah untuk projek PKFZ tidak termasuk faedah.

Katanya berikutan itu, jumlah keseluruhan sebanyak RM1.088 bilion juga akan meningkat.

Beliau juga berkata kerajaan tidak sabar-sabar untuk mendapatkan tanah di Pulau Indah bagi projek PKFZ.

Dr Mahathir yang juga bekas menteri kewangan apabila Kabinet bersetuju untuk membeli tanah itu pada 2001 berkata walaupun kerajaan memutuskan untuk membeli tanah itu melalui Kementerian Kewangan, tetapi ia akan disewakan kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) yang menguruskan projek itu.

Menjawab soalan Tun Abdul Majid sama ada beliau dirujuk sebelum sepucuk surat bertarikh 12 Jun, 2001 dan ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan pada ketika itu iaitu Tan Sri Shamsuddin Hitam dihantar kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan ketika itu Datuk Zaharah Shaari berhubung keputusan kementerian untuk mendapatkan tanah itu, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai surat itu.

Katanya dalam sesetengah kes, pegawai kanannya sama ada akan merujuk dengan beliau atau sebaliknya.

"Tidak semestinya mereka perlu merujuk dengan saya mengenai semua isu. Surat ini, dalam apa pun tidak akan mengikat Kabinet.

"Kabinet boleh membuat keputusannya sendiri, di mana kadang kala tidak betul-betul mengikuti nasihat menteri atau pegawai kementerian berkenaan, jelas Dr Mahathir.

Beliau juga bersetuju dengan Tun Abdul Majid bahawa Kabinet mengambil masa untuk bersetuju dengan harga pembelian memandangkan PKFZ adalah projek mahal dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) juga berpandangan bahawa harga pembelian RM25 skp tidak berdaya maju.

Dr Mahathir juga ditanya Tun Abdul Majid bagaimana harga permulaan RM18 melonjak kepada RM21 dan akhirnya RM25 skp.

Dr Mahathir menjelaskan selepas mengambil kira bayaran faedah lebih 10 ke 15 tahun dan penjual hanya bersetuju untuk RM21 skp jika ia melibatkan pembelian tunai.

"Ia bukan satu kesilapan apabila Kabinet bersetuju untuk RM25 sekaki persegi, selepas mengambil kira kos tambahan yang perlu dibayar penjual," kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata RM25 skp hanyalah satu harga kontrak berdasarkan terma pembayaran dan terma itu dikira mengikut tempoh tertentu.

Dr Ling didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Dia juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Dr Ling yang menjadi menteri pengangkutan selama 17 tahun mulai 1986, didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Dr Ling dipanggil membela diri pada 9 Mac lalu dan empat saksi telahpun memberi keterangan termasuk Dr Mahathir. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi disambung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain