suria

Rakyat Filipina Dijumpai Mati Dipercayai Dibunuh Rakan Senegara

KOTA KINABALU: Seorang tukang masak rakyat Filipina dijumpai mati ditikam di Penampang dekat sini awal hari Isnin.

Mayat lelaki yang dikenali sebagai Dany Lutian, 28, itu ditemui oleh orang awam di sebuah kedai kopi di Kampung Hungab pada pukul 4.50 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang ASP Wan Badrol Hisham Wan Othman berkata sehubungan itu polis menahan seorang lelaki rakyat Filipina berusia 43 tahun pada pukul 6.05 pagi bagi membantu siasatan kes itu.

"Mangsa dipercayai ditikam dengan sebilah pisau. Terdapat kesan tikaman pada bahu kiri mangsa dan polis turut menemui senjata dengan kesan darah, dipercayai digunakan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini.

Wan Badrol Hisham berkata siasatan awal polis mendapati mangsa dan suspek mabuk akibat terlalu banyak minum minuman keras dan mula bertengkar mengenai siapa antara mereka yang harus membelanja minuman.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain