suria

Polis Jumpa 177 Peluru Hidup Dalam Beg Plastik di Ipoh

IPOH: Polis menemui 177 peluru hidup dalam beg plastik yang disorok dalam timbunan pasir di luar sebuah rumah di Anjung Bercham Megah di sini, Ahad.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk A. Paramasivam berkata polis menyerbu rumah itu kerana disyaki sebagai tempat memproses dadah sebelum menemui 149 peluru hidup jenis 9mm dan 28 biji peluru jenis .22, kira-kira pukul 2 petang.

"Serbuan itu sebenarnya untuk mencari alat-alat digunakan untuk memproses dadah, namun pemeriksaan di dalam rumah tidak menjumpai sebarang dadah. "Pemeriksaan juga dibuat di luar rumah dan terlihat timbunan pasir dalam keadaan tersorok," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata polis telah melakukan pemerhatian ke atas rumah setingkat berkembar selama seminggu dan mendapati rumah itu sentiasa tertutup.

Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut mengenai penemuan peluru masih dijalankan.

"Rumah ini telah dibeli oleh orang asing dan terdapat beberapa lelaki kelihatan di rumah itu tetapi kebiasaannya tiada penghuni," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain