suria

Lembah Klang Berdepan Krisis Tenaga Jika Laluan Pencawang Tidak Dibina - TNB

MARAN: Keengganan Kerajaan Selangor membenarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) membina laluan pencawang akan menyebabkan Lembah Klang menghadapi krisis tenaga elektrik dalam tempoh lima tahun akan datang.

Naib Presiden (Penghantaran) TNB Datuk Rozimi Remeli berkata, laluan pembinaan pencawang tersebut bagi membolehkan bekalan tenaga elektrik sebanyak 1,000 megawatt dialirkan dari stesen janakuasa yang baru dibina di Manjung, Perak ke Lembah Klang.

Katanya kawasan pencawang tersebut hanya membabitkan laluan sejauh satu kilometer sahaja di Rawang.

"Jika pencawang tersebut gagal dibina, ia bukan sahaja menyebabkan krisis tenaga tetapi menjejaskan operasi bekalan air Loji Langat 2.

"Ini kerana bekalan tenaga elektrik dari Manjung itu akan dihantar ke projek talian TNB Mahkota Cheras sebelum ia diagihkan kepada beberapa kawasan lain termasuk membekalkan elektrik bagi membolehkan Loji Langat 2 beroperasi kelak," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian Kempen Kesedaran Keselamatan Elektrik 2013 Bersama Peneroka Peringkat Negeri Pahang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang dekat sini, Isnin.

Kempen itu dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Selain pembinaan pencawang di laluan tersebut, Rozimi berkata TNB juga menghadapi masalah untuk meningkat dan menaik taraf beberapa pencawang di kawasan lain kerana tidak diberikan kerjasama.

Menurutnya pencawang tersebut perlu dinaik tarafbagi membolehkan lebih banyak bekalan elektrik disalurkan kerana permintaan yang semakin bertambah berikutan pertambahan kawasan penempatan baru dan industri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain