suria

Kes Keganasan Yazid Sufaat & Rakan Disebut Di Mahkamah Tinggi Rabu Ini

KUALA LUMPUR: Kes bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat yang didakwa terhadap pertuduhan menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria akan disebut di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu ini.

Peguam Fadiah Nadwa Fikri yang mewakili Yazid memberitahu media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini bahawa mahkamah turut menetapkan hari sama untuk menyebut kes seorang lagi tertuduh Halimah Hussein. Kedua-dua kes itu akan disebut di hadapan Hakim Kamardin Hashim.

Pada 8 Februari lepas, Yazid, 49, dan rakannya Halimah, 52, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dan tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Yazid, pengusaha kafeteria di Kompleks Mahkamah di sini didakwa menggalakkan perlakuan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu tujuan ideologi dan perbuatan itu boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara 8.30 pagi dan 10.30 pagi, pada 1 Ogos hingga 20 Okobert 2012.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Halimah, seorang suri rumah didakwa bersubahat dengan Yazid bagi melakukan kesalahan sama pada tempat, tarikh dan waktu yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mereka merupakan individu pertama yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan membabitkan diri dalam aktiviti keganasan selepas ISA dimansuhkan pada 31 Julai 2012 selepas Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) bagi menggantikan ISA dikuatkuasakan.

Yazid pernah ditahan di bawah ISA selama tujuh tahun sejak Disember 2001 kerana disyaki mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan militan Jemaah Islamiyah. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain