suria

Dua Pengarah Syarikat Dipenjara Enam Tahun Dan Empat Sebatan Menipu RM1.5 Juta

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan empat sebatan ke atas dua pengarah sebuah syarikat kerana didapati bersalah atas dua dakwaan menipu pengarah urusan sebuah syarikat lain sebanyak RM1.5 juta pada tahun 2010.

Hakim M.Bakri Abdul Majid menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara dengan dua sebatan bagi setiap pertuduhan ke atas Mohd Rozian Md Yunus, 50, dan Mohd Faaris Mohd Yusof, 46, di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Bagaimanapun, M.Bakri memerintahkan hukuman penjara ke atas mereka berjalan serentak dan bermakna kedua-duanya hanya dipenjara masing-masing tiga tahun sahaja daripada enam tahun jika dijalankan berasingan.

Dalam pertuduhan pertama Mohd Rozian dan Mohd Faaris dituduh dengan niat bersama menipu Pengarah Urusan TRI Pic Bhd, Ibrahim Md Yusof untuk beliau mempercayai bahawa syarikat Eurisco Bina Sdn Bhd mendapat projek cadangan menaiktaraf Jalan Benta-Jerantut, Maran Pahang, segmen lapan, sembilan dan 10 (Reka dan Bina) dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mereka didakwa menipu dengan surat niat bertarikh 30 Ogos 2010 dari JKR yang mendorong Ibrahim untuk memeterai perjanjian antara Eurisco Bina bagi menyertai projek itu dan membayar kepada syarikat itu RM500,000 sebagai wang pendahuluan di mana Ibrahim tidak akan membuat pembayaran itu jika tidak diperdayakan.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Bilik Mesyuarat di Tingkat 9 Wisma Rozali Seksyen 13 Shah Alam di antara 7 dan 8 September 2010.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menipu Ibrahim dengan menggunakan kaedah yang sama pada 20 dan 21 Sept 2010 di tempat yang sama sehingga mendorong Ibrahim untuk membayar RM1 juta kepada Eurisco Bina.

Mahkamah juga mendapati Mohd Rozian bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana menerima secara suapan wang tunai RM50,000 daripada seorang konsultan syarikat pembinaan pada 9 Februari 2011 di Hotel Hilton Kuala Lumpur.

Suapan itu kononnya untuk diberikan kepada Timbalan Ketua Pengarah JKR Datuk Mohamad Husin sebagai upah melakukan suatu perkara yang dicadang kerana pihak JKR mengeluarkan surat pemberitahuan penerimaan tender bagi cadangan menaik taraf Jalan Benta-Jerantut dan Maran segmen lapan, sembilan dan 10 (reka dan bentuk) di mana JKR terbabit.

Bagi pertuduhan itu, M. Bakri menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM250,000, jika gagal penjara enam bulan.

Mohd Faaris juga dijatuhkah hukuman penjara sembilan bulan setelah didapati bersalah menyembunyikan dokumen dan barang kes iaitu pen-drive, cakera padat dan dokumen daripada pegawai penyiasat SPRM pada 10 Februari 2010 di pejabat Eurisco Bina di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwaraya dari SPRM, Roziza Sidek meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas kedua-duanya kerana ia melibatkan nilai yang besar iaitu RM1.5 juta yang dibayar kepada kedua-dua tertuduh tanpa apa-apa manfaat.

Kesalahan kedua-dua tertuduh itu melibatkan penggunaan dokumen palsu kerajaan iaitu surat niat yang mencemar nama baik jabatan kerajaan, iaitu JKR.

Roziza berkata selain daripada surat niat palsu, tertuduh pertama juga menggunakan surat pemberitahuan penerimaan palsu yang mencemar nama baik JKR dan Timbalan Ketua Pengarahnya.

Tindakan tertuduh kedua menyembunyikan pen drive yang merupakan "soft copy" kepada surat-surat palsu sebagai bukti utama telah menyusahkan petugas SPRM menjalankan siasatan.

Oleh itu beliau meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara berasingan ke atas kedua-dua tertuduh.

Peguambela tertuduh pertama Raja Ismail Raja Mohd Ali dan peguam bela tertuduh kedua M.Rajakumaran memohon hukuman ringan dikenakan ke atas anak guam mereka memandangkan kedua-dua mereka merupakan pesalah pertama dan masing-masing mempunyai tanggungan iaitu isteri dan anak-anak yang masih belajar.

Kedua-dua peguam juga memohon agar hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan ke atas kes anak guam masing-masing dan wang jaminan sebelum ini iaitu RM50,000 seorang dikekalkan.

Bagaimanapun, Roziza membantah kerana tidak sebab-sebab istimewa atau mendesak dibangkitkan pihak pendakwaan bagi menangguhkan hukuman penjara dan jika ditangguhkan hukuman penjara wang jaminan perlu dinaikkan.

M.Bakri membenarkan penangguhan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh tetapi dengan menaikkan wang jaminan kepada RM70,000 seorang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain