suria

Curi Kereta: Pekerja Kontrak Dipenjara 12 Bulan

PETALING JAYA: Seorang pekerja kontrak dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, Isnin selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencuri sebuah kereta milik seorang peniaga tahun lepas.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Soo Mun Seng, 33, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 30 Jun tahun lepas.

Lelaki itu didakwa mencuri kereta bernilai RM132,700 milik Mohd Azree Setapa, 29, di tempat letak kereta di kawasan perumahan di Persiaran Kinrara, Seksyen 3, Puchong, antara 24 Mei 2012 pada 7 malam hingga 25 Mei, 7 pagi keesokannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Soo yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman ringan kerana dia mempunyai tanggungan keluarga manakala Timbalan Pendakwa Raya Saphirra Selamat memohon hukuman setimpal. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Xenophon Berat Sebelah - Ku Nan

Artikel Berikut

Artikel Lain