suria

Kumpulan Penceroboh Setuju Dengan Proses Pengusiran Mereka - Pesuruhjaya Polis Sabah

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika mengadakan sidang media di Komtek PGA Batalion Sahabat 16 Lahad Datu. Foto BERNAMA
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika mengadakan sidang media di Komtek PGA Batalion Sahabat 16 Lahad Datu. Foto BERNAMA
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib ketika mengadakan sidang media di Komtek PGA Batalion Sahabat 16 Lahad Datu. Foto BERNAMA

LAHAD DATU: Kumpulan penceroboh dari selatan Filipina yang dikepung di Kampung Tanduo di sini bersetuju dengan proses pengusiran mereka tetapi terlebih dahulu ingin berjumpa personaliti tertentu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata pihaknya sedang berusaha untuk mereka (kumpulan penceroboh) berjumpa dengan individu berkenaan.

"Pada dasarnya mereka bersetuju dengan proses pengusiran itu tetapi sebelum itu mereka ingin berjumpa dengan personaliti itu. Sebab itu kita tidak dapat tentukan bila mereka akan diusir tetapi mereka sudah bersetuju untuk dihantar pulang," katanya sambil enggan mengulas identiti individu tersebut.

Beliau ditemui pemberita di Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Felda Sahabat kira-kira 100 kilometer dari sini, Ahad.

Pada Selasa lepas, kumpulan penceroboh yang menuntut mereka dikenali sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu tidak mahu rakyatnya berketurunan Sulu di Sabah dihantar pulang ke negara asal.

Hamza berkata, buat masa ini keadaan masih sama lagi dan pihaknya masih lagi menguruskan usaha-usaha untuk memastikan mereka dihantar pulang ke Filipina.

Katanya, seperti mana yang beliau katakan pada Sabtu, masih banyak perkara perlu diselaraskan.

"Kadang-kadang kita sebagai manusia ada perkara yang dalam jangkauan kita dan ada yang di luar jangkauan kita.

"Apa yang pasti kita tidak ada perundingan dengan mereka sebab apa yang mereka tuntut di landasan yang salah dan meminta mereka mengemukakannya dalam forum tertentu," katanya.

Hamza mengulangi jaminan bahawa keadaan keselamatan di negeri ini terutama di daerah ini adalah terkawal dengan pasukan keselamatan melakukan kawalan yang ketat.

Katanya, kawasan tempat mereka melakukan pencerobohan (Kampung Tanduo) dikepung pasukan keselamatan.

"Laluan masuk dan keluar di kawasan itu dikawal rapi. Kita tahu jumlah mereka dan di mana mereka berada," katanya.

Ditanya mengenai ada pihak tidak berpuas hati pendekatan pasukan keselamatan menangani isu ini melalui perundingan, Hamza berkata, ia selari dengan pendekatan kerajaan yang dikenali menyelesaikan sesuatu isu melalui perundingan.

"Kita kena lihat banyak perspektif sebab kita berunding dengan manusia. Kita juga kena ingat, kebanyakan mereka sama ada mereka datang dari Selatan Filipina termasuk di Sabah, mereka berkaitan.

"Apa perasaan mereka jika kita mengambil tindakan menentang orang mereka. Kita kena lihat kedua-dua perspektif," kata Hamza. - BERNAMA

Artikel Lain