suria

Sedari Hakikat Transformasi Kerajaan BN Untungkan Rakyat - Rais Yatim

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu menyedari hakikat segala pembaharuan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui pelbagai program transformasi berjaya menjadikan kehidupan masyarakat lebih baik.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata apa yang dilakukan kerajaan BN menunjukkan ia mengotakan janji yang dibuat, tidak seperti pembangkang yang hanya pandai menabur janji kosong.

"Rakyat Malaysia perlu berfikir tentang pembaharuan transformasi yang telah dilakukan (BN). Orang lain hanya pandai cakap sahaja tetapi tidak dapat buat sesuatu," katanya ketika berucap pada sambutan Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2013 di Taman Puchong Utama dekat sini malam Sabtu.

Majlis yang dihadiri puluhan ribu tetamu itu dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rais berkata sambutan meriah di Puchong malam Sabtu mencerminkan bahawa masyarakat Tiong Hua khususnya tidak putus-putus menyokong usaha murni kerajaan pimpinan Najib, yang telah memperkenal pelbagai program transformasi yang banyak membawa manfaat kepada mereka.

"Kalau dicongak, malam ini (Sabtu) membuktikan masyarakat Tiong Hua bersatu hati, dan (sambutan terhadap) program yang terlaksana sebelum ini menunjukkan sokongan dan kebangkitan masyarakat berbilang kaum menjadi kenyataan," katanya.

Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen serta Menteri Pertanian dan Industi Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Majlis diserikan dengan persembahan kebudayaan dan artis tempatan seperti Daniel Lee, Cheryl Koh, Shila Amzah serta Jamal Abdillah.

Sementara itu, dalam ucapannya, Chua berkata kerajaan BN pimpinan Najib telah membawa banyak perubahan positif kepada negara dari segi pembangunan, politik, ekonomi dan sosial.

"Pelbagai program transformasi yang diterajui perdana menteri membawa perubahan yang meyakinkan rakyat bahawa negara akan terus maju pada masa depan," katanya.

Beliau turut menyifatkan Najib sebagai perdana menteri yang "paling mesra rakyat", rajin dan kerap turun padang untuk mendampingi rakyat bagi merasai denyut nadi mereka.

Justeru, beliau berkata rakyat perlu memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Najib supaya negara terus maju dan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. BERNAMA

Artikel Lain