suria

Revolusi Tumbang Kerajaan Sedia Ada Tidak Janji Kesudahan Yang Manis - PM

PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejarah membuktikan revolusi menumbangkan kerajaan sedia ada tidak semestinya menjanjikan kesudahan yang lebih manis dari apa yang dikecapi sebelum itu.

Perdana Menteri berkata apa yang berlaku di negara-negara Arab baru-baru ini, misalnya, rakyat negara tersebut terpaksa menanggung kadar inflasi dan kadar pengangguran yang tinggi.

"Perubahan terbaik adalah perubahan yang dirancang secara sistematik, rapi dari atas ke bawah dan dari aspirasi rakyat itu sendiri," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan kunci rumah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) di Felcra Sri Makmur, di sini, Sabtu.

Najib berkata kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kesinambungan daripada kepimpinan sebelum ini yang sentiasa memberi kesejahteraan kepada rakyat.

"Perjuangan kita berdasarkan perjuangan yang sambung menyambung dari satu zaman ke satu zaman, kalau terputus kita tidak akan mungkin sampai ke garis penamat," katanya.

Najib berkata sejak Kebangkitan Dunia Arab (Arab Spring) yang menukar rejim lama kepada baharu bukan memberi kesan yang baik kepada rakyat sebaliknya kehidupan rakyat di negara itu semakin teruk berbanding sebelumnya.

Semasa melawat Mesir baru-baru ini, katanyam, beliau mendapat maklumbalas dari pelajar Malaysia di sana bahawa kadar inflasi yang tinggi menyebabkan mereka terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Najib berkata beliau telah memberi arahan supaya pelajar tajaan MARA di Mesir diberi elaun sara hidup bagi mengurangkan bebanan mereka berikutan kadar inflasi yang meningkat di negara itu.

Pada majlis itu, Najib menyerahkan 160 kunci rumah kepada generasi kedua Felcra yang bakal mendiami rumah yang berharga RM50,000 seunit itu.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Pengerusi Felcra, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob. BERNAMA

Artikel Lain