suria

Mayat Pendaki Dibawa Keluar Dari Kawasan Hutan

KUANTAN: Jenazah pendaki Gunung Tahan yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada Rabu lepas dibawa keluar dari kawasan hutan berkenaan pada Sabtu.

Jenazah Allahyarham Amir Kamaruzaman Ab Wahab, 35, yang berada di Kem Belumut akhirnya dikeluarkan pada 11 pagi Sabtu menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daearah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata helikopter yang membawa jenazah itu selamat mendarat di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis.

"Mayat arwah kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Arwah Amir Kamaruzaman bersama-sama 23 orang rakan pendaki yang lain dari Lembah Klang memulakan pendakian Gunung Tahan bermula di Taman Negara Relau, Merapoh dekat sini pada 11 Februari lepas.

Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas serta sakit dada sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke puncak antara Kem Kor dengan Kem Belemut pada aras ketinggian 1,406 meter pada 9.30 malam Rabu lepas.

Katanya operasi membawa keluar mangsa menggunakan helikopter berkenaan bermula pada Khamis, tetapi gagal kerana keadaan cuaca buruk.

"Operasi diteruskan lagi semalam namun gagal berikutan hujan lebat dan cuaca berkabus setelah tiga kali cubaan dilakukan.

"Syukurlah, pada pagi Sabtu cuaca kembali cerah di puncak berkenaan sehingga membolehkan operasi mengangkat mayat mangsa ke atas pesawat di udara setinggi 20 meter berjalan lancar tanpa apa-apa halangan," katanya.

Abdul Razak berkata pihaknya berterima kasih kepada semua anggota unit pasukan beruniform dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut terbabit dalam operasi berkenaan.

Sementara itu, beliau meminta semua pendaki dan pengusaha pelancongan yang ingin membuat ekspedisi mendaki puncak Tahan supaya benar-benar membuat persiapan rapi khususnya terlebih dahulu menjalani pemeriksaan doktor sebelum melaksanakan kegiatan berkenaan.

"Saya juga ingin menasihatkan semua pendaki melaksanakan kegiatan berkenaan pada musim panas dan cuaca yang baik di samping menyediakan keperluan makanan yang secukupnya," katanya.

Katanya mayat mangsa dibedah siasat di Hospital Lipis hari ini dan akan dibawa pulang anggota keluarga dan rakan rombongan pendaki untuk dikebumikan di kampungnya di Lembah Klang. BERNAMA

Artikel Lain