suria

Lelaki Warga Myanmar Didakwa Samun Dua Rakan Senegara

KUALA LUMPUR: Seorang pengutip barangan terpakai warga Myanmar pada Jumaat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menyamun wang tunai dan telefon bimbit milik dua rakan senegara dengan menggunakan parang, bulan lepas.

Mohd Yusuf Mohd Ismail, 30, bersama lima lagi yang masih bebas, didakwa melakukan samun wang tunai RM7,000 dan telefon bimbit milik Hussain Abdul Mutalib, 27, dan wang tunai RM30 serta telefon bimbit milik Sayedullah Abdul Rahman, 24.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada 5 petang, 29 Januari lepas.

Mohd Yusuf didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan Timbalan Pendakwa Raya Suzanne Tiyon Bimen dengan alasan tertuduh merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Hakim, Che Mohamad Zulkifly Jusoh menetapkan 15 Mac ini untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Lain