suria

Kecurian, Vandalisme Di Lebuhraya Beri Kesan Kepada PLUS

PETALING JAYA: Pencuri yang membawa lari pagar dan penutup lubang di lebuhraya meninggalkan kesan kepada PLUS Berhad dari segi kos dan mereka yang menggunakan jalan raya.

Pemegang konsesi lebuh raya menyifatkan perbuatan ini sebagai tidak bertanggungjawab yang menyebabkan punca kemalangan maut di lebuhraya, selain perlu memperuntukkan RM10 juta untuk kerja-kerja pembaikan setiap tahun.

Kebanyakan kemalangan disebabkan oleh haiwan yang merayau di lebuhraya selepas pagar dipotong.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Mohammad Fuad Khusairi berkata pencuri juga mencuri penutup longkang, tiang papan tanda, kabel telefon kecemasan dan rod tembaga pelindung kilat.

"Mereka juga mengambil injap penyiram, cangkuk penggantung dan peralatan lain dari tandas di kawasan rehat," katanya kepada The Star.

Beliau berkata, pagar menjadi sasaran utama sama ada bagi pencuri untuk membuat duit dengan cara mudah daripada nilai logam atau penduduk kampung yang mencari akses yang lebih cepat ke lebuh raya.

Mohammad Fuad menggambarkan vandalisme menjadi masalah besar kepada semua lebuh raya termasuklah di Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Lebuhraya Lingkaran Tengah Utara-Selatan (Elite) dan paling teruk di Lebuhraya Link Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Di Lebuhraya NSE sahaja, katanya, PLUS membelanjakan berjuta-juta ringgit dalam kerja-kerja pembaikan dan penggantian 9,461 kes kecurian dan vandalisme lain seperti grafiti di papan tanda dalam tempoh dua tahun yang lalu.

Mohammad Fuad berkata kawasan dari Pagoh ke Simpang Ampat, dari Alor Setar Selatan ke Sungai Petani Selatan dan dari Bidor ke Ipoh di Lebuhraya NSE menjadi "kawasan panas" untuk kegiatan mencuri.

Bagi berhadapan dengan masalah pagar yang dipotong, katanya, papan tanda telah didirikan di 29 lokasi di sepanjang Lebuhraya NSE tahun lepas, menggesa pemandu dan pengguna jalan raya yang lain supaya berhati-hati dengan lembu selepas PLUS mendapati peningkatan dalam jumlah haiwan yang berkeliaran di sepanjang lebuhraya.

Selain lembu, kerbau, tapir, babi hutan dan juga anjing, monyet dan kambing telah dilihat berkeliaran di lebuhraya.

"Pagar biasanya sering dirosakkan oleh penduduk tempatan yang cuba untuk mewujudkan akses yang lebih cepat ke lebuh raya atau untuk mengelak daripada membayar tol.

"Semua jenis pagar, termasuk yang berantai dan pagar dawai berduri hilang," katanya, sambil menambah penagih dadah dan penduduk kampung yang menganggur dari kawasan sekitarnya telah ditangkap kerana mencuri pagar.

Mohammad Fuad juga memetik kejadian di mana infrastruktur dirosakkan hampir serta-merta selepas dipasang, seperti lampu jalan dan kabel tembaga telefon kecemasan.

Kes terbaru berlaku pada 18 Januari baru-baru ini apabila pegawai peronda PLUS menangkap individu yang cuba mencuri pagar lebuhraya di KM104.9 antara Sungai Petani Selatan-Sungai Petani Utara di Lebuhraya NSE.

"Insiden itu berlaku sehari selepas pagar baru dipasang di lokasi," katanya.

Beliau berkata mereka juga sering menggantikan papan tanda yang telah dirosakkan dengan grafiti.

Untuk mengatasi masalah ini, beliau berkata, PLUS telah terpaksa menggantikan barangan yang dicuri dengan bahan dengan tiada nilai jika dijual.

Artikel Lain