suria

Rumah Terbuka Malaysia TBC Di Puchong Sabtu Ini

PETALING JAYA: Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan majlis Rumah Terbuka Malaysia sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2013 di Puchong Utama, Sabtu ini (esok).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata majlis itu akan dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Persembahan majlis rumah terbuka Malaysia, yang pertama kali diadakan di Puchong ini, unik kerana menyerapkan budaya 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai majlis itu Khamis malam.

Turut mengiringi Rais menyaksikan raptai ialah Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

Majlis anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan itu adalah kesinambungan kepada rumah terbuka yang diadakan sebelum ini.

"Pengisiannya juga lebih muhibah dan memberi gambaran sebenar konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri dengan penglibatan pelbagai kaum pada majlis ini.

"Jadi, saya minta rakyat Selangor, khususnya di Puchong, sama-sama memeriahkan majlis pada Sabtu ini di padang bersebelahan Pasaraya Carrefour Puchong," katanya.

Majlis itu, yang julung kali diadakan di Puchong, bakal berlangsung Sabtu ini pada 8 malam. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain