suria

Polis Kuching Gagalkan Cubaan Pecah Rumah

KUCHING: Polis Kuching percaya dapat menyelesaikan lebih dua kes pecah rumah dan curi di sekitar bandar raya ini apabila menahan dua lelaki dalam 'Ops Pintu' yang dijalankan pada 12 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad berkata, bertindak hasil maklumat, sepasukan anggota polis cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching membuat pemantauan dan pemerhatian di kawasan belakang sebuah rumah di Taman Xafa Villa, Jalan Fock San, Batu 10, Kuching.

"Pemerhatian dibuat selama lebih kurang 15 minit, mendapati dua lelaki Cina tempatan dalam lingkungan umur 30-an dan 40-an memanjat pagar belakang rumah dan memecah pintu gril belakang rumah untuk masuk ke dalam rumah. Serbuan dibuat dan kedua-dua lelaki tersebut berjaya ditangkap," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Roslan berkata, hasil tangkapan itu, polis turut merampas pelbagai perkakas pecah rumah dan barang-barang disyaki hasil curi, termasuk sebuah dompet mengandungi pelbagai matawang asing.

"Semakan rekod kesalahan lampau mendapati salah seorang suspek pernah ditangkap berhubung kes pecah rumah dan curi di daerah Kuching, dan juga pernah dikenakan perintah tahanan selama dua tahun di bawah Ordinan Darurat di Pusat Pemulihan Akhlak Simpang Renggam, Johor.

"Manakala seorang lagi tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah di daerah Kuching. Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Metaphetamine," katanya.

Menurutnya, kedua-dua lelaki kini ditahan reman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan pencerobohan rumah dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Khas/Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa) Bukit Aman, DCP Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim melakukan lawatan kerja ke Balai Polis Gita dekat sini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani dan Komander PGA Briged Sarawak, Datuk Wan Abdullah Tuanku Said. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain