suria

Hubungan Dengan Tiga Menteri Kabinet Baik - Zambry

SELAMA: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata hubungan baik dan kerjasama diberikan tiga menteri Kabinet dari Perak kepada beliau adalah hasil asuhan ketika sama-sama berjuang dalam Pergerakan Pemuda Umno.

Beliau berkata oleh yang demikian tidak hairanlah mereka berkongsi idealisme serta semangat perjuangan bersama-sama dan tiada sesiapa pun boleh mempertikaikannya.

"Hubungan kami sangat rapat (sejak dalam Pemuda Umno lagi). Isu ini (spekulasi hubungan mereka berempat mempunyai masalah) cuba dimainkan pembangkang sebagai kempen murahan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau mengulas spekulasi kononnya wujud masalah dalam hubungannya dengan tiga Menteri Kabinet dari Perak iaitu Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Terdahulu beliau menyampaikan geran hak milik tanah, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Program Bantuan Rumah (PBR) kepada peneroka Felda Ijok sempena program turun padang ke kawasan Parlimen Larut.

Zambry berkata: "Niat pembangkang supaya ia (spekulasi) dapat melemahkan serta memecah-belahkan kekuatan BN di Perak sekarang ini".

Katanya Perak bertuah mempunyai menteri-menteri di peringkat pusat kerana ia memudahkan beliau mendapatkan pandangan, bantuan dan menyalurkan permohonan projek pembangunan untuk kemajuan negeri Perak.

"Saya menganggapnya satu rahmat kepada Perak kerana mempunyai tiga orang berjawatan menteri di pusat yang saling membantu.

"Kami bergerak sebagai satu pasukan...jadi tak payah la ada yang cuba nak cucuk-cucuk lagi...cukuplah," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain