suria

Pandangan Ulama Mengundi Pas Itu Haram Wajar Dibincang Secara Muzakarah - Ahmad Shabery

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pandangan beberapa golongan ulama yang menganggap memberi undi kepada parti PAS itu adalah haram, wajar dibincang secara muzakarah.

Katanya selama ini ulama PAS menganggap mengundi Umno adalah haram, tetapi sekarang ini ternyata ada pandangan lain yang menyatakan memberi undi kepada PAS itu haram hukumnya.

"Saya kira semua orang patut pandang serius perkara ini. Biarlah berlaku lagi perbahasan ataupun muzakarah yang lebih mendalam tentang pandangan berkenaan. Apakah rasionalnya hujah dari segi hukum, hujah berdasarkan nas, Al-Quran dan sebagainya bagi mengiakannya.

"Tetapi bagi saya, yang jelasnya mengundi PAS ertinya menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim yang manifestonya membenarkan kalimah Allah digunakan dan kita akan lihat orang bersyarah menggunakan perkataan Allah tanpa merujuk konsep Allah yang kita fahami dalam agama Islam," katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar pada Rabu bahawa para ulama, tok guru pondok , imam dan ustaz muda yang menganggotai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Kelantan mengisytiharkan bahawa haram memberi undi kepada PAS pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Ahmad Shabery berkata demikian pada majlis penyampaian baucer Buku 1Malaysia kepada seramai 413 pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara Kemaman di sini hari ini.

Mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Ahmad Shabery berkata, ia bukan sahaja meringankan beban rakyat malah memberi impak kepada ekonomi apabila dibelanjakan seperti di pasar malam dan kedai-kedai. -- BERNAMA

Artikel Lain