suria

Terengganu Larang Pasang Bendera Parti Di Jambatan Dan Bulatan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu menguatkuasa larangan pemasangan bendera mana-mana parti di semua jambatan dan bulatan di negeri ini mulai hari ini demi keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mengeluarkan notis amaran kepada semua parti politik di kawasan masing-masing agar tidak memasang bendera di dua lokasi berkenaan.

PBT diminta memastikan semua bendera parti politik tidak dipasang di jambatan sama ada sekarang mahu pun semasa kempen pilihan raya berikutan bantahan dan rungutan orang ramai mengenai tindakan itu boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal apabila bendera itu terjatuh di jalan raya, katanya.

"Selain jambatan, kita juga tidak membenarkan bendera dipasang di bulatan kerana boleh menghalang dan menjejaskan pandangan pengguna jalan raya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini.

Katanya keputusan itu dibuat berdasarkan persetujuan yang dicapai PBT dengan parti-parti politik bahawa pemasangan atau penggantungan bendera, kain rentang dan poster parti-parti politik adalah tidak dibenarkan di beberapa lagi kawasan tumpuan.

Selain jambatan dan bulatan, beberapa lagi kawasan yang tidak dibenarkan pemasangan bahan-bahan parti politik ialah di persimpangan-persimpangan lampu isyarat, masjid ataupun mana-mana tempat ibadat, premis-premis milik kerajaan negeri dan persekutuan serta tiang-tiang lampu jalan, katanya.

Ahmad berkata, jika gagal mematuhi arahan berkenaan, PBT akan bertindak menurunkan dan merampas bendera berkenaan serta mengenakan denda kepada mana-mana parti politik terbabit.

"Kita ada kuasa mendenda mereka, tetapi buat permulaan kita merampas dulu bendera berkenaan. Ini kerana apa jua pemasangan di kawasan PBT perlu mendapatkan kebenaran PBT terlebih dahulu, jadi kita berhak mengambil tindakan ke atas mereka yang ingkar dengan amaran kita," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga kesal dengan tindakan parti pembangkang yang sewenang-wenangnya membuat pengubahsuaian pada tiang lampu di bandar ini untuk memasang bendera besar parti mereka sehingga mencacatkan pemandangan serta merosakkan harta benda awam. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain