suria

SPR Terengganu Nasihat PBT Tidak Pilih Kasih, Elak Ketegangan Dalam Masyarakat

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu menasihat semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak pilih kasih dalam mengambil sebarang tindakan kepada parti politik bagi mengelak wujudnya ketegangan dalam masyarakat.

Pengarahnya, Fakhrul Razi Ab Wahab berkata sebagai contoh isu pemasangan bendera parti politik di luar tempoh kempen perlu ditangani dengan adil dan sebarang tindakan perlu seragam kepada semua parti politik.

"Janganlah pula parti A boleh, parti B tak boleh. SPR nasihat PBT supaya laksanakan peraturan kecil yang tertakluk dalam setiap PBT bagi mengatasi masalah ini," katanya pada sidang media selepas memberi taklimat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kepada media di sini Rabu.

Beliau diminta mengulas mengenai keghairahan parti-parti politik memasang bendera masing-masing termasuk di lokasi yang tidak bersesuaian seperti di atas jambatan dan bulatan jalan raya di luar tempoh kempen PRU-13.

Secara asasnya, beliau berkata setiap permohonan (pemasangan bendera) perlu dibuat dengan PBT.

"Di luar tempoh kempen, PBT yang berkuasa penuh dalam perkara ini dan mereka boleh bertindak mengikut peraturan sedia ada.

"Bagi SPR pula, kami akan melantik dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi setiap kawasan Parlimen untuk memantau perkara ini sebaik sahaja penamaan calon," katanya.

Pasukan penguatkuasa ini terdiri dari sekurang-kurangnya lima anggota iaitu wakil PBT, wakil polis dan wakil-wakil dari parti yang bertanding. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain