suria

Lelaki Ditahan, Dadah Bernilai RM820,000 Dirampas

BUTTERWORTH: Seorang lelaki ditahan dan pihak berkuasa merampas dadah jenis syabu bernilai RM820,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), dekat sini Isnin lepas.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Yahya berkata, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan sebaik tiba di LTAPP pada pukul 11.30 malam setelah imbasan bagasinya menunjukkan sesuatu yang meragukan.

"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas beg lelaki itu, kami menemui sebungkus serbuk kristal lutsinar disyaki dadah jenis Syabu seberat 4.1 kilogram disembunyikan di ruang khas bagasi yang sudah diubahsuai itu," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit menaiki penerbangan dari Brunei dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

"Kami belum dapat pastikan sama ada lelaki itu keldai dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Menurut rekod ia adalah penerbangan pertama lelaki itu ke luar negara," katanya.

Zulkifli berkata, lelaki terbabit kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain