suria

Polis Minta Kerjasama Orang Ramai Cari Seorang Lagi Suspek Kes Samun Kerani Di Kuala Krai

KOTA BAHARU: Polis Kelantan meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan seorang lagi rakan kepada tiga penjenayah yang ditembak mati dalam satu kes samun di Sungai Sam, Kuala Krai, 3 Februari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng berkata lelaki yang dikenali sebagai Ahmad Faizan Hassan, 25, berasal dari Kampung Lepan Anjong Stong, Dabong, Kuala Krai itu dipercayai boleh membantu polis dalam siasatan berhubung kes berkenaan.

Katanya, lelaki itu dipercayai cedera terkena tembakan dalam kejadian berbalas tembak pada hari tersebut.

"Kita juga meminta klinik swasta supaya menghubungi pihak polis apabila didatangi suspek yang dipercayai cedera semasa kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan di sini Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi 3 Feb itu, empat lelaki merompak dan melarikan seorang kerani bersama wang tunai RM50,000 selepas mangsa keluar dari sebuah bank di Kuala Krai.

Pada hari sama, dua daripada lelaki berkenaan ditembak mati oleh polis selepas berbalas tembak semasa dikesan di Jalan Sungai Sam, di Kuala Krai, kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dua hari berikutnya, polis menembak mati seorang lagi rakan mereka di Hutan Lata Stong, Dabong, Kuala Krai pukul 12.30 tengah hari.

Ketiga-tiga suspek yang ditembak mati itu dikenali sebagai Muhammad Muhaimin Drahman, 27, dari Jalan Balai Polis lama, Jeli; Mohammad Azrain Mat Lazit, 22, dari Kuala Balah, Jeli dan Muhammad Asif Derahaman, 26, dari Jalan Limbong, Paka, Terengganu.

Lai berkata, sebarang maklumat mengenai suspek yang dikesan itu boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Mohd Fairus Rosli menerusi talian 017-9551083 atau mana-mana balai polis berhampiran. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain