suria

Najib Dijangka Adakan Perjumpaan Dengan Pemikir Dan Cendekiawan Islam

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengadakan perjumpaan dengan pemikir dan cendekiawan Islam di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 5 Mac nanti.

Mereka terdiri daripada tokoh-tokoh ulama, pemimpin, mufti, tokoh-tokoh Institusi Pengajian Tinggi (IPT), syarikat berkepentingan kerajaan (GLC) dan ketua-ketua jabatan kerajaan di seluruh negara.

Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Jailani Ngah berkata,perhimpunan dan perjumpaan perdana yang dijangka melibatkan 16,000 tokoh cendekiawan Islam antara lain bertujuan bagi menjalin hubungan baik antara kerajaan dengan ulama dan umarak.

"Pada perjumpaan itu nanti, Perdana Menteri akan mengumumkan sesuatu yang istimewa dan penting kepada warga agama bagi menjadikan Islam sebagai agenda penting yang akan diperkasakan selepas pilihan raya umum ke-13 nanti," katanya kepada Bernama di sini Selasa.

Beliau berkata demikian ketika melawat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kampus Utama Gong Badak di sini Selasa. Turut hadir Naib Canselor UniSZA Prof Dr Yahaya Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.

Jailani yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Perdana Perhimpunan Ulama/Umarak dan Warga Asnah bersama Perdana Menteri itu berkata, selain sebagai jambatan antara ulama dan umarak, perjumpaaan itu untuk memberi resolusi-resolusi terbaik dan menyatakan sokongan padu golongan itu kepada kepimpinan Perdana Menteri.

"Perhimpunan perdana yang akan diadakan itu merupakan sejarah kerana melibatkan tokoh-tokoh agama dari segenap lapisan dengan memfokuskan kepada memartabatkan agenda Islam di bawah transformasi negara.

"Imam dah kita naikkan elaunnya, cuma bilal, pegawai agama daerah seperti kadi-kadi belum lagi... Kemungkinan juga Perdana Menteri umum untuk naikkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah Kementerian atau program khas haji untuk menghantar bilal dan tok siak menunaikan umrah dan sebagainya," katanya memberi bayangan mengenai perjumpaan itu.

Jailani berkata, apa yang penting ia dijangka merupakan pengumuman penting dan positif kepada rakyat terutama umat Islam di negara ini.

Pada majlis itu, Jailani turut meluluskan peruntukan RM10,000 untuk Tabung Kebajikan Pelajar Unisza bagi menjalankan aktivitinya tahun ini. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain