suria

MB Selangor Bincang Minggu Depan Isu Bubar DUN

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan mengadakan perbincangan minggu depan mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Beliau berkata ia akan diadakan bersama sekutu dalam Pakatan Rakyat dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan.

"Saya cakap selepas Chap Goh Mei baru kita buat beberapa keputusan (mengenai bubar DUN), jadi lambat lagilah.

"Saya akan buat beberapa pengumuman minggu depan selepas saya adakan perbincangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Jubli Intan Masjid Ar Rahman, Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya di sini, Isnin.

Pada 30 Januari lepas, Abdul Khalid dilaporkan menyatakan hasrat membubarkan DU NSelangor selepas sambutan Chap Goh Mei bulan ini namun sehari kemudian, beliau menjelaskan pengumuman itu dibuat pihaknya bagi mendesak perdana menteri agar segera mengumumkan tarikh pilihan raya umum ke-13.

Mengenai isu air, Abdul Khalid berkata pihaknya tetap dengan pendirian supaya projek Langat 2 menjadi sebahagian daripada penstrukturan semula industri air di Selangor.

"Keprihatinan kami ialah kita perlu tindak bersama (Langat 2 dan penstrukturan semula air).

"Buat kiraan keseluruhannya supaya rakyat Selangor tahu kos yang terlibat dalam Langat 2 dan siapa yang biayainya serta bagaimana kesannya kepada tarif air di Selangor," kata beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain