suria

Kedai Pakaian Seragam, Kediaman Hangus Dalam Kebakaran

KOTA BAHARU: Seorang peniaga pakaian seragam dan sebuah keluarga yang tinggal berhampiran mengalami kerugian berjumlah hampir RM1 juta dalam kebakaran di Jalan Pengkalan Chepa di sini, Selasa.

Dalam kejadian kira-kira 3.50 petang itu, keluarga warga emas Che Tipah Hassim, 75, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka hangus dalam kebakaran melibatkan anggaran kerugian RM200,000.

Che Tipah, yang mendiami rumah itu sejak 50 tahun, berkata kejadian itu berlaku ketika beliau sedang berehat di ruang tamu dan menantunya, Roslina Che Ibrahim, 40, dan cucu Mohd Azim Abdul Halim, 11, baru selesai makan tengah hari.

Menceritakan detik cemas itu, Che Tipah berkata beliau dikejutkan oleh bau asap dan ternampak kepulan api dari sebuah bilik tidur sebelum ketiga-tiga mereka lari menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, kami tidak sempat menyelamatkan harta benda berikutan api yang marak," katanya ketika ditemui di rumah jirannya, tidak jauh dari tempat kejadian.

Sementara itu, peniaga pakaian seragam, Chang Ah Koon, 40, berkata beliau berada di tingkat bawah kedainya sebelum terdengar bunyi bising di belakang bangunan.

Chang berkata beliau menjenguk melalui pintu belakang kedai dan mendapati rumah Che Tipah di belakang kedainya sedang dijilat api.

"Akibat kejadian itu, saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM700,000, apabila stok pakaian seragam yang berada di tingkat atas hangus sama sekali," kata lelaki itu yang baru memulakan perniagaan selepas bercuti menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Baharu, Mohamad Hasan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada 3.56 petang.

Empat jentera dari balai Kota Baharu dan Pengkalan Chepa, serta 24 anggota termasuk bomba sukarela terlibat dalam usaha memadamkan api.-- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain